Peniaga rugi bekalan telur berlebihan


Khoo Gek San

Pembekal telur berdepan masalah lebihan bekalan susulan penguatkuasaan PKP yang menyebabkan harga telur jatuh mendadak, dan menjejaskan keuntungan peniaga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.

PEMBEKAL telur berdepan masalah lebihan bekalan susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan harga telur jatuh mendadak, dan menjejaskan keuntungan peniaga.

Mereka berkata permintaan untuk bekalan telur jatuh hampir 40% kerana restoran, peniaga warung dan syarikat katering menutup operasi sepanjang PKP.

Keadaan bertambah buruk untuk mereka apabila sesetengah pasar rayabesar menawarkan harga RM3 untuk sepapan telur gred C iaitu 30 biji, iaitu kurang RM2 berbanding harga kos. Ini bermakna telur dijual pada harga 10 sen sebiji.

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM) Lee Yoon Yeau berkata jualan telur gred AA, A dan B stabil kerana harganya kekal pada 30 sen hingga 40 sen sebiji.

“Namun, kami berdepan masalah lebihan bekalan telur gred C,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada masa sama, katanya berlaku kekurangan bekalan telur gred AA dan A, sementara bekalan telur gred B stabil.

Sepanjang Ramadan biasanya, permintaan untuk telur berkurangan 5%, tetapi tahun ini kejatuhannya amak teruk.

“Ketika PKP dikuatkuasakan, permintaan telur melonjak kerana orang ramai melakukan pembelian untuk menyimpan stok.

“Ramai peniaga telur bimbang tentang kekurangan bekalan dan menolak tempahan untuk eksport ke Hong Kong dan Singapura, akhirnya menyebabkan lambakan bekalan dalam negara.

“Bekalan tempatan kami biasanya antara 25 juta hingga 26 juta. Akibat sekatan PKP, permintaan telur pada April naik 20%, tetapi jatuh antara 30% hingga 40% pada Mei.

“Kami juga terjejas kerana peniaga warung menjual roti canai dan nasi lemak, yang biasanya membeli dalam kuantiti banyak, terpaksa berhenti operasi,” kata Lee.

Beliau berkata mereka menjangkakan keadaan akan kembali pulih pada Jun dan berharap dapat mengeksport semula ke Hong Kong dan Singapura.

Katanya, pengeluaran telur di Malaysia setiap bulan ialah 30 juta, dan antara tiga hingga empat jugta telur dieskport ke Hong Kong dan Singapura.

Seorang penternak berkata kos sebiji telur pada masa ini jatuh 30 sen.

“Permintaan telur di pasaran jatuh teruk. Kami rugi kerana terpaksa jual satu karton telur pada harga hanya RM3 atau RM4,” kata Heng dari Melaka.

“Dengan keadaan PKP, peladang tidak ada pilihan lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, bukan mudah untuk bekerja di ladang sepanjang tahun.

“Kerja di ladang bahaya, sukar dan kotor. Penternak perlu memastikan ayam bebas penyakit, kerjanya ambil masa lama dan bau busuk.

“Jumlah telur yang dihasilkan setiap ladang, ditentukan oleh beberapa faktor.

“Bila bekalan di ladang tertentu rendah dan bekalan di ladang lain stabil, maka bekalan pasaran akan turut terjejas. Harga telur biasanya akan ikut pasaran,” katanya.

PKP berkuatkuasa sejak 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19, dan pada masa ini PKP bersyarat dilaksanakan hingga 9 Jun. – 28 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen