POLIS mengesahkan ada majlis perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Selangor semalam, yang dipercayai melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), selepas pihak pengurusan kuil sebelum ini menafikan laporan sebuah portal berita mengenainya.
Semalam, polis berkata penjaga kuil menafikan rakaman video yang menunjukkan ada majlis perkahwinan di kuil itu, yang tular di media sosial.
Hari ini, polis mengesahkan menerima dua laporan berkaitan majlis perkahwinan itu yang dihadiri puluhan tetamu.
Ketua Polis Serdang, Ismadi Borhan berkata siasatan sedang dijalankan ke atas pihak pengurusan kuil dan penganjur majlis, selepas mereka mengakui pagi ini sememangnya ada majlis itu semalam.
Majlis itu berlangsung antara jam 8 hingga 10 pagi semalam dengan kehadiran sehingga 30 orang, kata polis, berdasarkan siasatan awal ke atas pihak pergurusan kuil.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan diminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan komen yang boleh memecahkan keamanan dan mendatangkan kegusaran awam,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
Ismadi berkata siasatan dibuat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.
Polis juga menyiasat kes mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan ugutan jenayah susulan laporan yang diterima daripada seorang wartawan portal berita yang menulis berita mengenainya semalam.
“Mangsa yang berusia 41 tahun mendakwa beberapa gambar peribadinya disebarkan melalui beberapa medium kumpulan WhatsApp susulan pendedahan yang dibuatnya melalui artikel berkenaan yang disiarkan di portal berita berkenaan pada jam 12 tengah hari semalam.
“Video berkenaan diambil sendiri mangsa ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja. Dia kini risau akan keselamatan dirinya dan minta kita menyiasat perkara itu,” kata Ismadi.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan sebuah kuil di Seri Kembangan dikunjungi hampir 100 penganut agama Hindu dipercayai bagi upacara perkahwinan walaupun PKPB sedang berjalan.
Di bawah larangan pergerakan yang dikenakan sejak 18 Mac lalu, semua kegiatan yang melibatkan perhimpunan termasuk yang bersifat keagamaan adalah dilarang bagi membendung penularan Covid-19. – 25 Mei, 2020.
Komen