Pati positif Covid-19 dihantar ke Maeps, kata Ismail Sabri


Noel Achariam

Semua pendatang asing tanpa izin yang disahkan positif Covid-19 di depoh tahanan Imigresen akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Maeps di Serdang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2020.

SEMUA pendatang asing tanpa izin (Pati) yang disahkan positif Covid-19 di depoh tahanan Imigresen akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan itu berkata seramai 4,342 Pati ditahan di tiga depoh tahanan imigresen.

“Seramai 1,654 di Semenyih, 1,134 di Bukit Jalil dan 1,358 di Sepang.

“Rakyat tidak perlu bimbang kerana mereka sudahpun terkurung di dalam kawasan depoh. 

“Jadi peluang untuk menularnya Covid-19 di luar adalah tidak ada kerana semuanya di dalam (depoh) tersebut kita buat saringan kepada semua Pati, termasuk pegawai dan sebagainya. Yang didapati positif terus dihantar ke Maeps,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail juga berkata rakyat tempatan yang dikesan positif Covid-19 tidak lagi ditempatkan di Maeps tetapi dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh mulai semalam.

Pusat kuarantin di Maeps kini hanya akan menempatkan Pati yang positif virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata satu kluster baharu Covid-19 membabitkan enam kes telah dikesan di depoh imigresen di Sepang.

Enam jangkitan berkenaan merupakan antara 60 kes baharu hari ini, yang mana 44 daripadanya melibatkan penularan tempatan.

Daripada 53 kes penularan tempatan, 44 melibatkan warga asing, katanya dalam satu kenyataan.

Manakala 27 daripadanya dikesan di depoh imigresen Semenyih dan depoh Sepang mencatatkan enam jangkitan. Sebelum ini sebanyak 60 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di depoh imigresen Bukit Jalil.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan tidak hanya menjalankan ujian saringan Covid-19 yang ditahan di depoh imigresen apabila kes positif dikesan.

“Di mana-mana sekalipun, sama ada di depoh, di tapak binaan, di kilang ayam, atau mana-mana apabila didapati ada positif Covid-19, maka saringan akan dibuat secara meneyluruh.

“Bukan setakat Pati kita buat saringan, termasuk pegawai-pegawai yang bertugas tetapi termasuk yang ada kaitan dengan depoh seperti pembekal makanan juga akan dibuat saringan,” jelasnya. – 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen