Khidmat suntikan vaksin pandu lalu dapat sambutan, kata doktor


Angie Tan

Perkhidmatan suntikan vaksin pandu lalu untuk kanak-kanak menjadi pilihan utama ibu bapa yang ingin mengurangkan kontak lantas mengelakkan jangkitan Covid-19. – Gambar EPA, 25 Mei, 2020.

PERKHIDMATAN suntikan vaksin pandu lalu untuk kanak-kanak menjadi pilihan utama ibu bapa yang ingin mengurangkan kontak lantas mengelakkan jangkitan Covid-19.

Khidmat yang berisiko rendah dan memudahkan itu kini boleh didapati di beberapa klinik di seluruh negara.

Dr Liu Chui Phin dari Medsense Family Clinic memberitahu The Malaysian Insight, kliniknya menyediak perkhidmatan suntikan vaksin pandu lalu sejak 30 Mac, iaitu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac.

“Apabila klinik panggil pesakit, mereka beritahu tak mahu keluar rumah sebab bimbangkan jangkitan. Kemudian, seorang rakan cadangkan khidmat pandu lalu dan sambutan yang kami terima agak menggalakkan,” katanya.

Khidmat paling popular melalui pandu lalu ialah suntikan vaksin untuk bayi kerana ibu bapa bimbang terhadap risiko jangkitan di hospital dan klinik.

Dr Liu berkata ibu bapa akan diberitahu mengenai vaksinasi yang diberi kepada anak dan temujanji akan ditetapkan.

“Doktor akan memakai alat perlindungan diri (PPE) yang lengkap dan bayi akan disuntik vaksin dari tingkap kereta.

“Prosesnya cepat, hanya ambil masa tidak sampai 10 minit. Tetapi jika ubat titik ke dalam mulut perlu ambil sedikit masa.”

Katanya, setakat ini ibu bapa berpuas hati dengan perkhidmatan melalui pandu lalu itu.

“Ada segelintir ibu bapa yang mash bimbang sama ada kami tukar sarung tangan dan PPE. Doktor kami juga ada keluarga, jadi sudah tentu kami mengambil langkah berjaga-jaga.”

Sementara itu, Dr Ng Kean Seng dari Klinik Wellcare Desa berkata setakat ini lebih 100 bayi telah menerima suntikan vaksin melalui pandu lalu di kliniknya sejak 25 Mac lalu.

Menurutnya, ada ibu bapa yang datang dari Bentong, Pahang untuk mendapatkan perkhidmatan suntikan vaksin anak mereka di klinik yang terletak di Taman Desa Jaya di Selangor itu.

Dr Ng menerusi catatan di Facebook berkata kliniknya akan mengeluarkan surat kebenaran pergerakan kepada ibu bapa supaya diberi kelepasan di sekatan jalan raya.

Tambah beliau, oleh imunisasi kepada bayi mesti mengikut jadual yang ditetapkan dan tidak boleh ditangguh untuk tempoh yang lama, kliniknya mengambil keputusan untuk menyediakan khidmat suntikan pandu lalu.

“Vaksinasi bagi bayi tidak digalakkan ditangguh lebih daripada seminggu,” katanya.

Selain itu, klinik juga memberi tunjuk ajar kepada ibu bapa cara-cara menjaga anak jika mengalami demam selepas menerima suntikan melalui panggilan video. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata disaran menepati jadual imunisasi dan tarikh janji temu yang telah ditetapkan walaupun semasa PKP.

Beliau dipetik Bernama berkata, kelewatan penerimaan imunisasi akibat tempoh PKP) boleh meningkatkan risiko pendedahan bayi dan kanak-kanak terhadap penyakit cegahan vaksin seperti campak dan polio.

Katanya, hal ini boleh menyebabkan berlakunya peningkatan wabak penyakit cegahan vaksin yang juga akan mengancam nyawa jika tidak dibendung. – 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen