Presiden Austria minta maaf langgar perintah pengurungan


Presiden Austria Alexander Van der Bellen mengakui melakukan kesalahan selepas melanggar perintah pengurungan dengan berada di restoran sehingga melepasi waktu ditetapkan. – Gambar EPA, 25 Mei, 2020.

PRESIDEN Austria Alexander Van der Bellen meminta maaf pada Ahad selepas duduk di sebuah restoran melepasi pukul 11 malam yang diarahkan kerajaan sebagai sebahagian daripada langkah mengekang koronavirus.

“Saya keluar untuk pertama kalinya sejak perintah pengurungan dengan dua rakan dan isteri saya,” kata Van der Bellen pada Ahad, sambil menambah: “Kami kemudian tidak sedar melebihi masa ketika berbual.

“Saya benar-benar minta maaf. Itu adalah satu kesilapan,” kata Van der Bellen.

Beliau menulis demikian di Twitter susulan laporan akhbar Kurier yang polis terjumpa presiden dan isterinya di sebuah restoran Itali di bandar Vienna pada tengah malam ketika membuat rondaan.

Austria melaksanakan perintah pengurungan agak awal dan ketat untuk memerangi koronavirus pada pertengahan Mac tetapi secara bertahap melonggarkan sekatan sejak pertengahan April ketika jumlah jangkitan masih rendah.

Minggu lalu restoran dan kafe dibenarkan dibuka semula tetapi harus mengikuti peraturan baharu, salah satunya adalah waktu tutup pada pukul 11 malam.

Pemilik restoran tersebut memberitahu surat khabar Krone yang beliau mematuhi peraturan dengan menghentikan perkhidmatan pada pukul 11 ​​malam tetapi berpendapat pelanggan dibenarkan berada di luar restoran melepasi waktu jika mereka mahu.

Restoran itu mungkin dikenakan denda kerana melanggar sekatan baru dan Van der Bellen berkata beliau akan “mengambil tanggungjawab” jika pemilik restoran mengalami kerugian akibat kejadian itu.

Penduduk Austria sebanyak 8.8 juta orang terhindar daripada wabak terburuk setakat ini dengan 640 kematian daripada 16,453 kes yang dilaporkan pada Ahad. – AFP, 25 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen