RoS tidak patut campur tangan sengketa dalam Bersatu, kata peguam


Ragananthini Vethasalam Bede Hong

Perbalahan kalangan ahli, atau dalam kepimpinan parti sebagaimana dialami Bersatu lebih baik dirujuk ke mahkamah, bukan RoS atau menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2020.

PENDAFTAR Pertubuhan (RoS) sepatutnya mengehadkan peranannya untuk hal penguatkuasaan seperti penyerahan laporan tahunan dan akaun, bukannya berpihak kepada mana-mana pihak yang sedang mengalami perbalahan dalaman, kata peguam.

Mereka berkata RoS sepatutnya tidak masuk campur dalam hal seperti memutuskan sama ada Dr Mahathir Mohamad masih pengerusi Bersatu, atau tidak.

“Bersatu ialah ahli individu, dan kuasa (untuk menentukan perkara seumpama itu) perlu diserahkan kepada parti, bukannya RoS,” kata peguam hak sivil, Charles Hector Fernandez.

Perbalahan kalangan ahli, atau dalam kepimpinan parti lebih baik dirujuk ke mahkamah, bukan RoS atau menteri, untuk diselesaikan, katanya.

“Sebelum membuat keputusan akhirnya, adakah RoS memberikan Dr Mahathir ‘hak untuk didengar’? Adakah mereka memberi peluang kepada beliau untuk bercakap?

“Saya tidak dengar atau lihat sebarang laporan di mana pendaftar mengadakan pendengaran atau memanggil Dr Mahathir untuk mendengar pihaknya sebelum keputusan dibuat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

RoS baru-baru ini mengisytiharkan Dr Mahathir bukan lagi pengerusi Bersatu, dan perdana menteri sekarang, Muhyiddin Yassin yang juga presiden parti, akan menjalankan tugas pengerusi.

“RoS sepatutnya hanya kisahkan tentang laporan tahunan dan akaun yang perlu dihantar, sama ada sesebuah persatuan melanggar undang-undang – ia perkara pentadbiran,” kata Fernandez.

“RoS hari ini terlalu banyak kuasa, dan sebenarnya mereka tidak sepatutnya ada kuasa terhadap isu berkenaan.

“Ingat, salah satu undang-undang yang Pakatan Harapan (PH) janji untuk pinda ialah Akta Persatuan, di mana mereka gagal berbuat demikian ketika mereka masih memegang kuasa,” katanya.

Beliau berkata PH berjanji untuk meminda Akta Persatuan untuk mengeluarkan peruntukan anti “kebebasan berpersatuan”, tetapi gagal melaksanakannya.

Sementara itu, peguam perlembagaan Andrew Khoo mempersoalkan sama ada RoS ada maklumat terbaru berkenaan barisan kepimpinan Bersatu.

“Adakah RoS tahu maklumat terkini berkenaan pemilihan parti Bersatu? RoS hanya ada maklumat yang diberikan kepadanya,” katanya. – 25 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen