Peniaga di Bandar Lama PJ rugi teruk selepas PKPD


Ravin Palanisamy

Jalan Othman, Petaling Jaya diletakkan di bawah PKPD selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2020.

PENIAGA di pasar dan medan selera Jalan Othman, Petaling Jaya kini berdepan cabaran besar membersihkan kawasan perniagaan mereka daripada barangan yang rosak selepas kawasan itu ditutup dan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD).

Walaupun PKPD yang bermula pada 10 Mei tamat pada tengah malam 21 Mei lalu, pasar itu telah ditutup sejak 27 April selepas 26 kes Covid-19 dikesan di situ.

Peniaga sayur Chen Yoke Choon berkata sehingga sekarang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih belum memaklumkan bilakah pasar itu boleh dibuka semula.

Peniaga kini menghabiskan masa membersihkan kedai mereka dan membuang barangan jualan yang rosak, yang kata Chen, boleh dielak jika pihak berkuasa tidak tergesa-gesa menutup pasar itu pada 27 April sehingga peniaga tidak sempat bersedia.

“Pihak berkuasa sepatutnya lebih bertimbang rasa dengan memaklumkan peniaga lebih awal tentang penutupan itu, supaya kami boleh keluarkan barangan mudah rosak,” kata peniaga berusia 66 tahun itu.

Berdepan kerugian barangan mencecah RM2,000 sejak pasar ditutup, Chen berkata beliau kini gusar dengan sumber pendapatan untuk membayar bilik sewanya berhampiran pasar dan duit makannya.

Sepanjang pasar ditutup, makan minumnya ditangguh tuan rumah yang baik hati membantunya.

Tuan rumah juga tidak mengambil sewa bilik untuk sebulan, tetapi Chen tahu situasi itu ada batasnya.

“Kalau diikut kerugian yang saya tanggung dan saya hanya dapat RM1,000 sebulan, kerugian ini sangat besar untuk saya,” katanya lagi.

Peniaga sayur Chen Yoke Choon antara peniaga yang rugi teruk kerana pasar Jalan Othman, Petaling Jaya dikenakan PKPD. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Mei, 2020.

Ketika tinjauan The Malaysian Insight ke pasar itu baru-baru ini, kontraktor dapat dilihat sedang membersihkannya.

MBPJ menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan itu, tetapi peniaga juga diperlukan membersihkan kawasan gerai masing-masing, menurut notis yang ditampal di pasar itu. – 24 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen