Jualan kereta terpakai meningkat semasa PKP


Bernard Saw

Jualan kereta terpakai naik sepanjang perintah kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2020.

SEBANYAK 9,000 kereta terpakai dijual dalam empat hari minggu ini, menunjukkan peralihan perbelanjaan pengguna terhadap kereta terpakai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemerosotan ekonomi.

Presiden Gabungan Persatuan Perusahaan Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) Tony Khor mengaitkan jumlah transaksi itu dengan kemudahan urus niaga dalam talian dan musim perayaan kerana pengguna biasanya membeli kenderaan baharu menjelang musim perayaan.

“Jumlah penghantaran kereta dari 18 hingga 21 Mei sangat baik. Ini adalah kesan pesanan tertunda ditambah sentimen positif daripada subsidi kerajaan.“Khor memberitahu The Malaysian Insight bahawa beberapa transaksi untuk menjual dan membeli sudah diatur dengan peniaga kereta terpakai sebelum PKP, menyaksikan sekitar 4,200 kereta terjual, dan 4,800 kereta diterima pembeli.

Daripada 4,200 kenderaan yang terjual, sekitar 60% berharga sekitar RM30,000, katanya.

Moratorium enam bulan pembayaran pinjaman daripada bank juga menjadi faktor kerana ramai yang merasakan mereka mempunyai lebihan wang.

Sebilangan besar peniaga kereta terpakai menggunakan platform dalam talian EZAuto untuk menjual kereta dalam talian semasa PKP. Platform digital memerlukan semua prosedur yang berkaitan, termasuk penjamin, penjualan, dan pemindahan hak milik.

Steven Ng, pemain industri kereta dari Kuala Lumpur, berkata pembelian kereta terpakai dalam talian telah berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Fenomena itu secara beransur-ansur menjadi trend sejak beberapa tahun lalu menyaksikan penggunaan platform digital bagi mempercepat urusan jualan kereta.

Bagaimanapun, walaupun pesanan boleh dibuat dalam talian, pelanggan dan peniaga masih perlu bertemu secara langsung bagi mendapatkan perincian lain seperti cap jari. – 24 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen