Erti Hari Raya bagi orang miskin


Zainal Rashid Ahmad

RAYA yang paling seronok sepanjang hayat saya tentulah ketika membesar di Alor Setar pada tahun 70-an.

Pada usia lapan tahun, pada 1975, kali pertama saya dibenarkan menunaikan solat raya dengan berjalan kaki sendirian dari rumah ke Masjid Alor Merah.

Kampung kami hanya ada 11 buah rumah. Tidak ada seorang pun yang memiliki motosikal. Kereta jangan bayangkan. Kami hanya melihatnya di jalan raya.

Saya keluar rumah seawal 7 pagi. Jarak ke masjid sekitar 5 kilometer (km). Itu kali kedua saya pergi ke masjid. Kali pertama ketika menunaikan solat Jumaat dengan membonceng basikal seorang jiran dewasa.

Walaupun perlu berjalan kaki pada pagi raya ke masjid tanpa teman, ketika turun tangga rumah, perasaan sudah teruja. Itu pagi terindah dalam hidup saya.

Tiada baju Melayu atau sampin songket. Tiada songkok baharu. Hanya memakai seluar harian, baju T dan berselipar Jepun.

Saya keseorangan kerana tiada kanak-kanak sebaya yang mahu ke masjid. Ayah saya pula bekerja pada malam raya dan tidur di dalam beca di Alor Setar. Dua atau tiga hari sebelum raya, ayah saya tidak akan pulang ke rumah.

Selepas bekerja sebagai buruh Lembaga Kemajuan Perairan Muda (MADA), ayah mengambil upah mengayuh beca bermula lewat petang petang hingga ke larut malam.

Pada tahun 70-an, itulah peluang ayah saya mendapat wang tambahan pada musim perayaan.

Waktu itu, bandar Alor Setar (orang menyebutnya pekan pada waktu itu) sangat sibuk dengan pergerakan manusia.

Orang-ramai akan keluar membayar zakat kepada golongan miskin yang memenuhi sekitar kawasan Masjid Zahir. Ratusan orang miskin dari kampung-kampung di ceruk bandar - terutama warga emas - akan duduk bersandar pada dinding masjid. Di depan mereka diletakkan segantang beras.

Proses akad dan lafaz dibuat dengan perantaraan membeli dan membayar zakat menggunakan segantang beras.

Ini suasana malam raya sepanjang 70-an hingga awal 80-an. Setelah konsep amil zakat diperkenalkan, tiada lagi orang miskin termasuk dari pinggir bandar Alor Setar, berkumpul di sekitar masjid pada minggu terakhir Ramadan.

Konsep zakat fitrah mula dikendalikan Pejabat Zakat Kedah bagi memudahkan urusan kutipan dan agihan yang lebih tersusun kepada orang miskin. Kesibukan pada minggu akhir Ramadan menjadikan permintaan khidmat penarik beca meningkat.

Itu punca ayah tidur di dalam beca kerana jarak rumah ke pusat bandar hampir 17km.

Pagi raya pula, selepas solat sunat, ayah akan mengayuh beca sampai tengahari dan hanya pulang selepas Asar. Keadaan di pekan Alor Setar sangat sibuk terutama masyarakat India Muslim yang meraikan Aidil Fitri di Masjid Nogore, Pekan Cina.

Ini zaman 70-an dan waktu itu pengangkutan awam sangat terbatas. Pemandu teksi tidak akan keluar bekerja dan khidmat bas dikurangkan kerana cuti raya.

Tumpang lori ke masjid

Saya keluar awal pagi berjalan kaki ke masjid. Harapan saya, kalau ada orang yang lalu dengan basikal, mungkin dapat menumpang.

Hari yang indah. Sebaik saja berjalan melepasi lorong kampung dan tiba di laluan jalan raya, sebuah lori berhenti di tepi jalan.

“Hang nak pi masjidkah?” tanya pemandunya.

Saya anggukkan kepala.

“Naik belakang,” kata pemandunya.

Saya melompat ke belakang lori yang sudah dipenuhi kanak-kanak dan orang dewasa.

Hanya beberapa orang memakai baju Melayu buruk. Selebihnya memakai pakaian harian biasa.

Cuma, semuanya sangat bersih. Pakaian bersih adalah tradisi hari raya.

Solat raya di saf belakang

Solat raya sangat menyeronokkan. Pada dekad 70-an, penduduk Pumpong, Mentalon dan Alor Merah berkariah di masjid yang sama. Majoritinya ialah keluarga miskin yang berasal dari petempatan di tebing air sepanjang Sungai Kedah.

Keluarga orang sederhana dan berada akan datang dari kawasan perumahan di seberang jalan utama.

Perumahan mewah berjiran dengan Kelab Golf Diraja dan Kelab Lumba Kuda, Alor Setar.

Penduduk tebing sungai ialah peneroka yang membina rumah setinggan di atas tanah rizab milik Jabatan Parit dan Saliran.

Kita akan lihat perbezaan yang ketara di masjid. Orang miskin hanya bersolat di saf belakang.

Kanak-kanak sebaya saya yang selekeh, lebih suka duduk bertakbir dan bertahmid di luar masjid.

Kanak-kanak duduk bersila di atas tikar mengkuang yang berlapik kain tarpan yang dihampar di atas tanah lapang. Apa pun, suasana ceria hari raya tetap meriah. 
Suara takbir dan tahmid yang bergema di masjid sudah cukup untuk menghiburkan rasa hati anak-anak orang miskin.

Peluang menunaikan solat raya satu kemeriahan bagi kami yang tidak berpeluang menghadiri majlis keraian atau keramaian.

Selesai solat dan selepas khutbah, kanak-kanak segera menghilang. Termasuk saya. Kami berkumpul dan ramai-ramai menyeberang jalan memulakan langkah hari raya.

Ada dua kampung Melayu yang besar di Jalan Sekolah dan Jalan Datuk Seri Amar Diraja.

Saya menyertai kumpulan kanak-kanak yang berjalan bergerombolan menuju rumah ke rumah. Tradisi kutip duit raya pun bermula. Itu tahun pertama saya beraya dengan cara aneh ini. Kami pergi ke setiap rumah; memberi salam dan ucapan raya.

“Makcik, kami mai nak raya….”

Tuan rumah akan faham kata-kata ini. Tidak perlu menjemput masuk kanak-kanak dan dihidangkan makanan. Hanya berikan kami duit raya.

Sepuluh sen perkara biasa. Kalau tuan rumah beri 20 sen, itu bonus hari raya! Saya berjalan sepanjang hari selepas solat raya. Pada usia lapan tahun, itulah kali pertama saya menikmati erti raya bagi seorang kanak-kanak.

Tanpa pakaian, kasut atau songkok baharu. Tanpa baju baharu atau kemeriahan hidangan ketupat atau rendang daging di rumah, saya masih
tetap menikmati hari raya dengan berjalan ke sana-sini dari rumah ke rumah seluruh Alor Merah sampai Taman Malaysia.

Sudah dewasa raya pun berubah

20 tahun kemudian, saya mula menikmati raya di perantauan. Pada awal usia muda ketika merantau, bekerja buruh atau menjadi kuli - menyebabkan banyak kali saya tidak cukup wang pulang beraya.

Hanya pada tahun 1995, hari raya mula terasa sangat bermakna di perantauan. Saya beraya sebagai suami dan setahun kemudian sebagai bapa. Pada tahun-tahun itu, saya beraya dengan bergilir tahun pulang ke rumah ibu bapa dan mentua di Melaka.

Cuma, saya lebih gemar meraikannya dengan mengutamakan kanak-kanak. Melihat kanak-kanak satu “throwback” yang mengharukan. Kita melihat masa lampau dan betapa cepatnya waktu berlalu. Serta betapa cepatnya kehidupan orang Melayu berubah pada hari raya.

Kita terharu melihat suasana kanak-kanak berbaju cantik, berbeg silang dan mahukan wang kertas dalam “ang pau”. Itu hari raya biasa pada era ini. Pemberian wang raya pada kanak-kanak memang memberikan keseronokkan.

Apa lagi apabila pulang ke Kuala Lumpur dan menerima ziarah kanak-kanak ke rumah sendiri. Ia lebih bererti kerana mereka jiran terdekat saya.
Saya tinggal di flat PPR, Cheras. Pada 1995, PPR secara majoriti didiami keluarga pendapatan rendah. Kanak-kanak menghargai tiap ringgit yang diberikan.

Walaupun setiap ibu bapa sudah mampu membelikan berbaju baharu dan kanak-kanak berhias sakan, ia masih tidak melupuskan realiti, mereka sebenarnya masih dikejar beban kemiskinan.

Cuma, ada satu perkara yang tidak berbeza; kita mendengar ayat yang sama: “Kami datang nak beraya.”

Tidak ada yang sudi masuk ke rumah kecuali menantikan duit raya. Pujuklah sehalus mana pun, kanak-kanak tidak akan memasuki rumah saya. Mereka mengejar waktu demi mengutip duit raya.

Dua puluh tahun kemudian, mulai 2015, saya mengikuti projek Ramadan Raya di sekitar Dataran CIMB Jalan Chow Kit.

Projek mengedar makanan, baju raya (baju terpakai yang masih baik kualitinya) dan derma tunai kepada warga jalanan termasuk kanak-anak.

Cuma, suasana menghibakan. Semua ini tidak mengembalikan memori lama; tetapi mencipta trauma baru.

“Kami dari dekat kawasan sini-sini saja,” kata kanak-kanak yang memenuhi sekitar jalan.

“Sini-sini saja” secara naratif ialah anak-anak miskin dari PPR Kampung Baru, PPR Sentul dan PPR Batu.

Ratusan manusia berada di Dataran CIMB sepanjang Ramadan. Selain mendapatkan makanan bersahur, mereka datang kerana kawasan ini tumpuan utama NGO mengedarkan bantuan raya pada minggu terakhir Ramadan.

Pada 2018, saya terharu melihat sekumpulan remaja hipster ala K-pop muncul mengendali projek gunting rambut raya percuma.

Anak-anak orang kaya dari Ampang. “Nature” berbahasa Inggeris dan berbaju mewah turun ke jalan mengedarkan pelbagai bantuan.

Anak milenium dengan tradisi Barat tapi kaya hati budinya. Bersarung tangan plastik dan tanpa rasa kasta, memegang rambut dan membersihkan kepala warga tua dan gelandangan dewasa.

Saya suka pada kumpulan mat motor yang muncul dengan projek duit raya. Sekali pun masih muda dan dianggap koloni urban - jiwa manusianya mekar dan memahami erti berkongsi apa yang ada menjelang hari raya.

Raya tahun ini jadi sunyi

Tahun ini paling sunyi. Anak-anak PPR sekitar Jalan Chow Kit pasti berasa kecewa.

Perintah Larangan Pergerakan (PKP) menjadikan aktivis tidak dibenarkan berada di jalanan. Tiada projek edaran makanan dan tiada misi bantuan raya. Kanak-kanak yang saban tahun mengutip duit raya dan mendapatkan baju cantik (baju terpakai tapi masih bagus kualitinya) terasa kehilangan tempat mendapatkan bantuan.

Keadaan lebih perit kerana mereka beraya dengan ibu bapa yang makin terhimpit kerana tidak bekerja selama tiga bulan.

Majoriti anak jalanan ialah warga miskin bandar. Saya yakin, ramai yang beraya dalam keadaan terhimpit dan berduka. Selepas empat tahun berada di jalanan setiap Ramadan, tahun ini saya kehilangan mereka.

Kanak-kanak gelandangan dan anak-anak miskin warga PPR hilang peluang mendapat bantuan.

Apa lagi pada tahun dimana kekangan ekonomi sangat membelit kehidupan mereka. Pastinya, majoriti ibu bapa kanak-kanak ini tidak berpendapatan selama tiga bulan PKP.

Mereka buruh, pekerja rencam, penjaja dan kuli bawahan. Malah, ramai yang akan melalui kehidupan lebih perit apabila mula kehilangan pekerjaan selepas
musim raya.

Pagi raya tahun ini akan diraikan tanpa solat sunat Aidil Fitri di masjid. Barangkali, inilah kali pertama umat Islam beraya dalam suasana berkurung sejak agama Allah tiba di bumi Melayu ini.

Hari raya akan dipenuhi dengan doa. Semoga Allah bebaskan kita semua daripada belenggu Covid-19. Kita berdoa agar ekonomi pulih dan Allah angkat segala bencana demi kebaikan hamba-Nya. Amin Ya Rabb Alamin. – 23 Mei, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen