Selangor paling tinggi cubaan rentas negeri untuk balik kampung 


Ravin Palanisamy

Mereka yang terlepas pada sekatan jalan raya polis akan ditahan ketika kembali ke kota.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2020.

LEBIH 1,600 kenderaan cuba merentas sempadan semalam, menjelang sambutan Hari Raya esok, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata, Selangor mencatatkan cubaan rentas negeri paling tinggi, diikuti Kedah dan Pulau Pinang.

“Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri paling tinggi untuk balik kampung adalah Selangor dengan 2329 kes, diikuti Kedah dengan 211 kes dan Pulau Pinang dengan 196 kes,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail berkata, mereka yang terlepas pada sekatan jalan raya polis akan ditahan ketika kembali ke kota.

Dalam pada itu katanya, polis turut menahan 39 individu kerana melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat.

“Lapan belas daripada mereka direman dan 21 dikenakan kompaun.” – 23 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen