Lanjutan moratorium pinjaman sukar untuk bank, kata pakar ekonomi


Sheridan Mahavera

Lanjutan moratorium bayaran balik pinjaman bank akan membantu rakyat dalam menjalani kesan ekonomi akibat PKP dan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2020.

BANK patut mempertimbangkan untuk melanjutkan moratorium selama enam bulan bagi pinjaman kerana ia akan mengurangkan tekanan terhadap kerajaan bagi membantu isu rumah negara ini meneruskan kelangsungan hidup dalam berdepan kemelesetan ekonomi, kata pakar.

Bagaimanapun, sesetengah pakar ekonomi mengakui ia permintaan sukar kerana bank tidak mampu terus-menerus menyerap aliran bayaran balik pinjaman yang dikurangkan, di mana ia akan menjejaskan bank.

Lanjutan moratorium selama tiga bulan lagi, yang diminta perniagaan dan pengguna, akan bermakna keuntungan tahunan lebih rendah bagi bank, kata pakar ekonomi.

Namun, jika mereka membenarkan lanjutan itu, ia akan menjadi satu langkah baik dan muhibah untuk peminjam yang berdepan kemungkinan hilang kerja atau pemotongan gaji, kata mereka.

Pada masa sama, rakyat Malaysia juga perlu memainkan peranan dengan menyimpan wang daripada penangguhan bayaran pinjaman bulan itu supaya dapat meluaskan bajet mereka dan membayar pinjaman semula sebaik saja moratorium tamat.

“Maklum balas daripada pemain industri mencadangkan, potongan gaji dan langkah mengurangkan kos akan memberi kesan besar bagi tempoh beberapa bulan akan datang,” kata Prof Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway.

Ketika ekonomi mula dibuka semula perlahan-lahan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) selama lapan minggu, peniaga akan mula menilai semula kesan ekonomi masa depan terhadap perniagaan mereka, katanya.

Pemberhentian kerja dan potongan gaji mungkin berlaku sebaik saja perniagaan memulakan langkah mengurangkan kos untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Persekutuan Majikan Malaysia menganggarkan mungkin dua juta orang bakal hilang pekerjaan menjelang akhir tahun ini sebagi kesan kepada pandemik Covid-19.

Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana berkata 39% daripada ahli mereka bercadang untuk mengurangkan pekerja dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Jadi, permohonan lanjutan tiga bulan itu munasabah memandangkan kesan ekonomi yang teruk akibat Covid-19,” kata Yeah.

“Ia sesuatu yang bank perlu pertimbangkan dengan baik untuk mengurangkan keperluan kepada satu lagi pakej rangsangan ekonomi.” – 23 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen