GPS sekali lagi kata ia bukan ahli Perikatan


Desmond Davidson

Majlis Tertinggi GPS selepas mesyuarat hari ini sekali lagi mengulangi pendirian mereka “untuk menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia demi kepentingan negara kerana perlunya kerajaan persekutuan yang stabil”. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Mei, 2020.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) sekali lagi menegaskan ia bukanlah ahli dalam kerajaan pemerintah persekutuan, Perikatan Nasional, walaupun wujud laporan media berkaitan memorandum persefahaman yang dikatakan untuk “membentuk” PN.

Majlis Tertinggi GPS selepas mesyuarat hari ini sekali lagi mengulangi pendirian mereka “untuk menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia demi kepentingan negara kerana perlunya kerajaan persekutuan yang stabil”.

“GPS adalah rakan dalam kerajaan persekutuan,” kata kenyataan itu yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Alexander Nanta Linggi.

Linggi juga menyatakan persefahaman kerjasama “untuk menyokong rangka kerajaan yang berfungsi”.

Kata Linggi lagi, GPS akan terus melindungi, mempertahankan dan memperjuangkan hak Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg yang turut hadir mesyuarat juga mengulangi sebab mengapa parti komponen Barisan Nasional keluar daripada kerjasama itu selepas kekalahan pilihan raya 2018.

Jelasnya, punca utama empat parti dalam GPS meninggalkan BN kerana mereka mahu mendesak Putrajaya menghormati dan memenuhi syarat MA63 yang selama ini terhakis kerana pengaruh besar parti Melayu Semenanjung.

GPS terdiri daripada empat parti Sarawak- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People’s Party (SUPP) dan Progressive Democratic Party (PDP).

Pengulangan pendirian itu dikeluarkan selepas laporan media tentang MoU yang ditandatangani ketua parti yang membentuk PN tidak diterima dengan baik oleh ketua parti Sarawak.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing berkata beliau tidak tahu menahu mengenai perubahan pendirian GPS dalam Perikatan.

PRS adalah parti komponen dalam GPS, gabungan yang memerintah kerajaan negeri Sarawak.

“Kami (sepatutnya) Perikatan + GPS,” kata Masing yang juga timbalan ketua menteri Sarawak.

Masing turut menegaskan yang sokongan GPS hanyalah kepada Muhyiddin selaku perdana menteri untuk menamatkan krisis politik tercetus Februari lalu. – 22 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen