Kluster tabligh Seri Petaling lapor 12 kes baharu Covid-19


Chan Kok Leong

Ketua pengarah kesihatan itu berkata 41,031 orang berkaitan dengan kluster tabligh itu sudah disaring setakat ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2020.

TERDAPAT 12 kes baharu Covid-19 dikesan berpunca daripada kluster tabligh Seri Petaling seterusnya menjadikan jumlah positif kluster itu adalah 3,359, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata 41,031 orang berkaitan dengan kluster tabligh itu sudah disaring setakat ini.

Daripada kluster tahfiz dan madrasah pula, Dr Noor Hisham berkata 20,555 pelajar dan guru daripada 372 sekolah sudah dikenal pasti.

Tambahnya, dalam kluster itu 672 kes positif dikesan dengan 80% daripadanya tidak menunjukkan gejala.

Daripada 390 kluster pasar basah pula, katanya, 41,405 orang dikenal pasti dengan 31,939 sudah menjalani saringan, setakat ini terdapat 268 kes positif kluster itu.

Dalam perkembangan terkini yang diumumkan pada sidang media di Putrajaya hari ini, Dr Noor Hisham juga mendedahkan terdapat 21 kes positif daripada 267 rumah orang tua melibatkan 10,890 penghuni dan kakitangan.

Berkaitan kuster baharu itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 25 kes positif dikesan dalam kalangan pendatang asing yang ditahan di Depoh Imigresen Bukit Jalil.

Kluster lama lain yang juga merekodkan kes baharu adalah Kg Sg Lui (11) diikuti satu kes saripada Pasar Borong KL dan Pudu.

78 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes Covid-19 di Malaysia sekarang adalah 7,137.

Daripada 78 kes itu, 25 adalah kes import dan 53 kes tempatan melibatkan 40 warga asing termasuklah 25 orang di pusat tahanan imigresen Bukit Jalil.

63 orang disahkan pulih hari ini dan Malaysia melaporkan 1,163 kes masih aktif.

Jumlah korban pula seorang hari ini menjadikan jumlah mangsa wabak di negara ini kepada 115 orang.

Kematian hari ini melibatkan seorang lelaki berusia 65 tahun yang mempunyai sejarah kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Beliau dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada 3 April lalu tetapi meninggal jam 2.58 petang semalam. – 22 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen