Tangani segera isu pekerjaan anak muda


SAYA merujuk kepada kenyataan Persekutuan Majikan Malaysia yang menjangkakan berlaku pembuangan pekerja secara berterusan selepas Hari Raya ini akibat masalah kewangan yang dihadapi majikan. 

Majikan tidak mampu untuk mengekalkan pekerja kerana perlu menanggung tanggungjawab statutori iaitu caruman KWSP sebanyak 13% dan caruman Perkeso untuk seorang pekerja di samping pelbagai overhead yang lain antaranya sewa pejabat, lesen perniagaan, bayaran utiliti dan sebagainya.

Maka, untuk mengekalkan seorang pekerja, majikan bukan sahaja menanggung gaji pekerja tetapi menanggung caruman statutori. 

Kos tambahan ini tidak menjadi masalah untuk majikan pada hari-hari biasa, namun bukan dalam keadaan krisis Covid-19 apabila perniagaan tidak dapat berkembang.

Tidak dinafikan, kebajikan pekerja perlu diutamakan dan caruman KWSP dan Perkeso adalah untuk kebajikan masa hadapan pekerja, namun kerajaan perlu mencari solusi menang-menang untuk memastikan majikan tidak gulung tikar atau membuang pekerjanya.  

Jika ini berlaku, pekerja hilang mata pencarian dan memberi impak sosial dan ekonomi yang serius kepada negara.

Kementerian Sumber Manusia perlu diingatkan bahawa unjuran kadar penggangguran di Malaysia dalam tempoh dua bulan ini sahaja telah meningkat sebanyak 3.9% pada bulan Mac 2020. 

Bayangkan angka selepas ini, apatah lagi sektor perkhidmatan antara sektor yang terkesan terutamanya industri pelancongan yang masih lagi ditutup.

Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia perlu turun padang dan mendengar keluh-kesah rakyat berkenaan kes-kes ‘terlepas pandang’ apabila ada majikan yang memaksa pekerja mengambil ‘unpaid leave’ tanpa memohon Bantuan Pengekalan Pekerjaan (BPP). 

Ada juga yang dipaksa dipotong gaji tanpa mendapat persetujuan Jabatan Tenaga Kerja. 

Inilah realiti di lapangan yang mana mereka terdesak memerlukan bantuan segera daripada kerajaan.

Dalam keadaan ini juga, kerajaan jangan lupa kepada anak muda lepasan universiti yang mahu menjejakkan kaki ke pasaran pekerjaan.

Dengan kemuncupan ekonomi dan kebanyakan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang mula gulung tikar dan mengurangkan pekerjanya, pastinya peluang pekerjaan tiada untuk anak muda ini.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan Pakataan Harapan telah merencanakan Program #MalaysiaKerja melalui 4 sub-program iaitu Graduan@Kerja, Wanita@Kerja, Watan@Kerja dan Perantis@Kerja untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak muda dan wanita.

Kerajaan perlu meneruskan dasar ini untuk membantu anak muda mendapatkan pekerjaan dalam sektor terpilih termasuk memberikan insentif tambahan mengambilkira suasana majikan yang terkesan akibat Covid-19. 

Kerajaan tidak boleh duduk diam sahaja tanpa mencari solusi menang-menang antara majikan, pekerja dan bakal pekerja.

Sebuah jawatankuasa khas kabinet yang melibatkan Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia perlu segera dibentuk dan mengkaji sama ada polisi kerajaan ini benar-benar membantu rakyat di lapangan atau sekadar menanam tebu di tepi bibir sahaja. 

Yang terkesan bukan sahaja Mak Cik Kiah atau Pak Salleh, tetapi Daniel, Haikal dan Nurul, anak muda Malaysia yang juga memerlukan perhatian segera daripada kerajaan.

Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan menyemak semula kadar caruman majikan dalam KWSP dan tanggungjawab majikan di bawah Akta Kerja 1955 untuk memastikan kebajikan semua pihak terjaga.

Kita tidak mahu pasca Hari Raya 2020 ini menjadi detik hitam buat para pekerja dan anak muda di Malaysia akibat kegagalan kerajaan menangani masalah pengangguran dan peluang pekerjaan di Malaysia. – 22 Mei, 2020.

* Farhan Haziq Mohamed merupakan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen