POLIS menahan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental selepas dipercayai menggunakan gambar dan nama Ketua Pemuda MCA Wong Siaw Ting di Facebook.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 40 tahun yang pernah mendapat rawatan psikiatri itu ditahan di rumahnya di Ampang, Selangor, kelmarin.
“Pihak kami menerima laporan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 21 April lepas. Pengadu tidak berpuas hati gambar dan namanya digunakan di Facebook untuk melakukan jenayah.
“Turut dirampas satu telefon bimbit dan dua kad sim dalam tangkapan terbabit, ” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.
Nik Ezanee berkata siasatan awal mendapati suspek adalah OKU mental dan mempunyai kad OKU sejak 2015.
Katanya, ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap lelaki itu didapati negatif dadah dan dia dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan psikiatri. – Bernama, 22 Mei, 2020.
Komen