Polis Sabah tubuh pasukan khas pantau sambutan Aidilfitri


Kira-kira 7,000 anggota polis termasuk APMM, Rela dan agensi lain terlibat dalam pemantauan menjelang sambutan Aidilfitri di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2020.

POLIS Sabah menubuhkan sebuah Pasukan Khas yang akan memantau aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini agar tidak melanggar prosedur standard operasi (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Zaini Jass berkata walaupun Sabah tiada larangan rentas daerah namun orang ramai dinasihat agar mengehadkan pergerakan pulang ke kampung dalam usaha memutuskan rangkaian Covid-19.

“Polis akan memeriksa rumah yang didapati mempunyai banyak kereta bagi memastikan hanya ahli keluarga sahaja yang berada dalam rumah berkenaan dan tidak melebihi jumlah yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sekatan jalan raya di Kota Kinabalu, malam tadi.

Kira-kira 7,000 anggota termasuk Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan agensi lain terlibat dalam pemantauan itu.

Zaini berkata, sekatan dan pemeriksaan di sempadan negeri juga dibuat bagi memastikan tiada pergerakan rentas negeri termasuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mengenai sekatan jalan raya itu, Zaini berkata ia dijalankan khusus untuk memeriksa kenderaan awam agar mematuhi SOP yang ditetapkan terutamanya kedudukan dan bilangan penumpang dalam setiap kenderaan.

Sekatan itu dijalankan serentak di 21 lokasi seluruh Sabah melibatkan pelbagai agensi antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam operasi itu, 350 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan menahan 20 individu berumur lingkungan 30an, termasuk 15 orang yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan lima lagi atas kesalahan narkotik.

“Jumlah kenderaan termasuk motosikal yang diperiksa ialah 182 buah kenderaan, manakala 528 individu telah diperiksa di semua lokasi sekatan jalan raya malam ini,” katanya. – Bernama, 22 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen