95 maut siklon Amphan badai Bangladesh dan India


Pokok tumbang menghempap sebuah trak selepas siklon Amphan membadai kampung Bokkhali berhampiran Teluk Bengal, India, pada Khamis. – Gambar EPA, 22 Mei, 2020.

INDIA dan Bangladesh memulakan kerja pembersihan besar-besaran pada Khamis selepas dibadai taufan paling dahsyat sejak 1999 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 95 orang, mengakibatkan kemusnahan.

Siklon Amphan meranapkan rumah, menumbangkan pokok, tiang elektrik dan menerbangkan bumbung ketika ribut melanda kampung di pesisir pantai serta memusnahkan kolam udang yang penting bagi ekonomi tempatan.

Pejabat PBB di Bangladesh menganggarkan 10 juta orang terjejas, dan kira-kira 500,000 orang hilang tempat tinggal.

Bagaimanapun, jumlah kematian jauh lebih rendah berbanding ribuan yang terbunuh dalam taufan sebelumnya - hasil ramalan cuaca dan pelan tindak balas yang lebih baik.

Bencana tersebut menyebabkan kebimbangan yang kepadatan penduduk di tempat perlindungan ribut akan memburukkan penyebaran koronavirus.

Benggala Barat India melaporkan 72 kematian - termasuk 15 di ibu negeri Kolkata - dengan ketua menteri Mamata Banerjee berkata: “Saya tidak pernah melihat bencana sebesar ini.”

“Ini adalah siklon terburuk yang melanda negeri ini sejak kejadian 1737 ketika ribuan orang kehilangan nyawa,” katanya kepada wartawan. 
Banerjee sebelumnya menggambarkan kesan siklon sebagai “lebih teruk daripada koronavirus”.

Seramai 23 orang maut di Bangladesh, menurut angka kematian rasmi.

Perdana Menteri India Narendra Modi akan melawat kerosakan di negeri Bengal Barat dan Odisha pada Jumaat, dan juga mengambil bahagian dalam mesyuarat bantuan.

Modi sebelumnya menulis di Twitter akan memastikan semua yang terjejas dibantu.

Ramalan cuaca yang lebih baik menyebabkan Bangladesh berkesempatan memindahkan kira-kira 2.4 juta orang ke tempat perlindungan atau mengelak dari laluan badai, sementara India memindahkan kira-kira 650,000 penduduk.

Sekurang-kurangnya 10 juta orang putus bekalan elektrik pada petang Khamis di beberapa daerah yang paling teruk terjejas di Bangladesh, kata ketua lembaga elektrik luar bandar, Moin Uddin.

Ribut itu merobohkan lebih 55,000 kediaman di seluruh Bangladesh, kata menteri muda pengurusan bencana Enamur Rahman. – AFP, 22 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen