Merampas kembali sejarah kaum muda, kuburkan politik tua


“Sejarah bukan masa lampau. Ia adalah masa sekarang. Kita membawa sejarah bersama-sama kita. Kita adalah sejarah. Jika kita berpura sebaliknya, sesungguhnya kita adalah penjenayah” – James Baldwin


MERENUNG kata-kata James Baldwin tentang sejarah membawa saya semula ke pertengahan tahun 90-an. Saya teringat semasa di kelas, melihat buku sejarah berwarna coklat, mendengar guru sejarah sambil kipas yang tergantung di siling terus berputar. Ketika itu tengah harinya panas, cerah dan matahari terang memancar.

Perhatian saya tertarik khususnya pada cerita Tok Janggut – bagaimana dia dibunuh kejam kerana melawan pemerintahan penjajah British. Saya ingat jelas perasaan betapa ngerinya apabila mengetahui peristiwa berdarah ini. Sebagai seorang gadis muda, saya memahami bahawa dunia sekitar ini penuh keganasan dan kekejaman.

Saya kemudiannya dibawa ke bab berikut dalam buku sejarah. Bab yang menceritakan bagaimana kumpulan elit yang dikenali sebagai United Malay National Organisation (Umno) berjaya berunding dengan British untuk mendapatkan kemerdekaan. Buku sejarah ini menggambarkan Umno sebagai wira, wira tunggal yang memperjuangkan kemerdekaan negara yang kita gelar kini Malaysia. 

Pencapaian Umno diagungkan tanpa hentinya. Kepahlawanan Umno berdengung di segenap tempat.

Saya berkata kepada diri ada sesuatu yang tidak kena, ada satu rasa yang mengganggu sanubari. “Bagaimana dengan Tok Janggut?” “Mengapa mereka seperti Tok Janggut tidak diserta bersama dalam naratif ini? Tidakkah dia berjuang untuk kemerdekaan kita?” 

Saya merasakan buku sejarah ini telah melangkau satu episod penting dalam sejarah negara kita. Saya dapat merasakan ada sesuatu yang tertinggal dalam rantaian kejadian sejarah tetapi saya tidak dapat menentukan apakah ia sebenarnya. Pertanyaan ini saya tinggalkan begitu sahaja. 

Sepuluh tahun kemudian, saya tidak punya pilihan melainkan merenung kembali pertanyaan ini selepas menonton “Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka” oleh Fahmi Reza – sebuah dokumentari berkenaan sejarah yang berlaku sepuluh tahun sebelum kemerdekaan. Segala persoalan yang mendiami diri saya selama sepuluh tahun mendesak disemak semula. 

Kesedaran ini menggesa saya untuk membaca tentang gerakan kiri anti penjajahan yang didorong kaum muda dan digerakkan dengan semangat untuk menegakkan pembebasan, keadilan, dan kemanusiaan yang tidak berbelah-bahagi.

Saya belajar tentang Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), dan Angkatan Wanita Sedar (Awas), PUTERA-AMCJA, prinsip-prinsip yang mereka perjuangkan, dan impian yang mereka ingin bina untuk negara kita ini. 

Saya merasakan satu ketenangan apabila mempelajari bahawa konsep “Melayu” yang diperjuangkan gerakan kiri anti penjajahan ini sangat berbeza sekali dengan konsep “Melayu” yang dipaksakan oleh Umno dengan sokongan penuh British. 

Konsep “Melayu” yang diperjuangkan golongan kiri bersifat anjal, menerima, dan akomodatif ini ternyata berbeza sekali dengan konsep “Melayu” Umno yang memecah-belah dan meminggirkan.

Sifat merangkumi konsep “Melayu” jalur kiri ini dizahirkan dalam Perlembagaan Rakyat 1947. Perlembagaan Rakyat 1947 ini diusulkan oleh satu gabungan yang dikenali sebagai PUTERA-AMCJA yang meliputi PKMM, API, Awas, organisasi-organisasi kecil akar umbi, Malayan Democratic Union (MDU), Malayan Indian Congress (MIC), Pan-Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU), 12-State Women’s Federation in Malaya, Malayan New Democratic Youth League (MNDYL), dan Malayan People’s Anti-Japanese Ex-Service Comrades’ Association.

Gerakan bersejarah PUTERA-AMCJA ini merupakan aksi politik pertama yang menyatukan semua bangsa di Malaya. Straits Times menggambarkan gerakan ini sebagai “satu usaha politik pertama untuk meletakkan parti politik Malaya melangkaui kepentingan bangsa, dan juga usaha pertama untuk mendirikan sebuah jambatan politik antara komuniti bukan Melayu dan Melayu yang tinggal di Malaya.”

Tidaklah mengejutkan apabila Umno dan British bertindak menggagalkan usaha penyatuan ini kerana melihatnya sebagai ancaman kepada kuasa dan segala kepentingan mereka. Dasar pecah perintah British terus diamalkan oleh Umno selepas merdeka dan masih diteruskan sekarang. 

Setelah merungkai sebahagian sejarah ini, saya tidak dapat menerima melainkan merasa dikhianati. Pengkhianatan ini kerana kesukaran saya untuk menerima politik elitis dan pecah belah Umno yang bertentangan dengan identiti Melayu dan pegangan politik saya. 

Pengkhianatan ini mendorong saya untuk belajar dengan lebih mendalam tentang sejarah kiri yang radikal dan merangkumi, sejarah yang telah dipadam dan hilang daripada ingatan kolektif kita. 

Ada seperti suatu rasa pembebasan yang mendalam apabila kita mengetahui kebenaran tentang sejarah kita sendiri. Ia membantu kita memahami di mana dan apa kita pada suatu ketika dahulu dan di mana dan apa kita ketika ini. Ia membantu kita untuk memahami apa yang sedang berlaku dan mengapa kita, rakyat negara ini terus memerangi sesama sendiri. 

Ia juga membolehkan kita untuk memahami bagaimana golongan elit politik daripada kedua-dua pihak bermain dalam struktur kuasa yang sedia wujud – struktur-struktur yang diwarisi daripada British dan dibina untuk meminggirkan dan membungkam suara-suara progresif. 

Satu analisis jelas tentang susunan bertingkat dan perbezaan kuasa membolehkan kita untuk memahami bagaimana kekuasaan bergerak dan mengapa suara-suara progresif terus dipinggirkan. 

Membina kefahaman yang menyeluruh tentang sejarah membolehkan kita untuk menelusuri jauh ke dalam kesedaran kita – suatu proses penting untuk membebaskan minda kita daripada segala struktur dan sistem yang menjadi penghalang untuk kita melakukan perubahan yang sebenar, bermakna, dan berkekalan.

Mempelajari sejarah membolehkan kita untuk membina naratif politik progresif yang boleh mempengaruhi hala tuju politik dan melakukan perubahan radikal yang kita sangat perlukan untuk menghadapi ketidakadilan yang tidak terbayangkan, yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat pada hari ini. 

Ini hanya boleh terjadi apabila kaum muda bersedia untuk membebaskan diri daripada politik tua, merampas kembali suara-suara mereka daripada kaum tua, dan menghancurkan naratif politik dan struktur penghalang yang membantutkan keupayaan imaginasi mereka melangkaui “keperluan untuk memilih antara yang kurang jahat antara dua kejahatan”. 

Perlu diingatkan bahawa erti kata politik adalah lebih luas dan ia sangat tidak adil jika erti kata politik itu disempitkan mengikut apa yang kita sudah terbiasa. Tetapi apa yang kita sudah terbiasa ini hanya dan masih terus gagal. Kebiasaan yang terus-terusan menggagalkan. 

Dalam kebuntuan politik yang menekan ini, Malaysia Muda – satu gerakan yang ingin menggarap semangat kaum muda dalam suatu keberlangsungan penting sejarah negara kita telah mengambil keputusan untuk berarak di jalan raya Kuala Lumpur pada 23 Disember 2017 untuk memperingati kongres API yang pertama pada tahun 1946.

Kami berhasrat untuk memperibadikan semangat membara API dan menterjemahkannya menerusi aksi-aksi politik radikal. Apa yang kami perlukan hanyalah ruang untuk mengimpikan, berimaginasi, dan beraksi. 


* Fadiah Nadwa Fikri adalah antara penggerak Malaysia Muda. 

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen