Mampukah Parlimen Malaysia adakan sidang maya?


PADA 2 September 2019, saya menghadiri satu libat urus tertutup dianjurkan oleh Pesuruhjaya Australia di Malaysia. Perjumpaan ini sempena lawatan rasmi beberapa wakil rakyat Parlimen Australia, salah seorangnya ialah Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Australia Kevin Hogan. 

Saya bertanya kepada Kevin Hogan, sejauh manakah sistem demokrasi berparlimen mampu memanfaatkan penggunaan teknologi pada era ini. Adakah satu hari nanti Parlimen akan bersidang secara maya dan ahli parlimen boleh mengikuti perbahasan di mana mereka berada? 

Kevin Hogan menyatakan Parlimen perlu mengadaptasi penggunaan teknologi. Suka atau tidak, Parlimen tidak boleh ketinggalan dalam perkara ini. Beliau turut menekankan kepentingan institusi Parlimen menjadi asas kepada semak dan imbang dasar kerajaan meskipun teknologi telah memberikan kita satu kemudahan. 

Perbincangan ini tepat pada masanya apabila parlimen memerlukan persidangan secara maya dalam membahas, menyemak dan mengimbangi dasar kerajaan dalam menguruskan krisis pandemik Covid-19.  Persoalannya, sejauh manakah Parlimen Malaysia mampu untuk mengadakan sidang parlimen secara maya? 

Kos sidang maya Parlimen UK 

Pada 14 April 2020, Speaker House of Commons Sir Lindsay Hoyle dan Suruhanjaya Parlimen United Kingdom (UK) telah membuat pelan penggunaan teknologi dalam sesi parlimen seperti pertanyaan perdana menteri (PMQ) dan sesi pertanyaan bersama menteri ketika Covid-19. 

Suruhanjaya Parlimen UK mempunyai autonomi merancangan pelan teknologi parlimen tanpa campur tangan daripada jemaah menteri. Ini merupakan satu cabaran untuk mengadaptasi teknologi dalam institusi parlimen yang sudah berusia hampir 700 tahun.

Keperluan perkhidmatan parlimen dalam pengurusan Covid-19 telah memberi peluang kepada parlimen UK memanfaatkan teknologi bagi meneruskan tugas semak dan imbang ke atas menteri kabinet.  

Berdasarkan anggaran perbelanjaan dikeluarkan Suruhanjaya Parlimen UK, kos untuk membangunkan teknologi bagi sidang parlimen secara maya berjumlah £148,793 (RM 782,480.20) dan kos penyelenggaraan pula berjumlah £369,267 (RM 1.9 juta) sebulan, sehingga 12 Mei 2020. Jumlah keseluruhan sidang maya dianggarkan berjumlah £369,415 (RM 2.7 juta)

Jika ia diteruskan sepanjang enam bulan, maka perbelanjaan boleh mencecah sehingga £2.21 juta (RM 11.6 juta). Dibawah Peraturan Mesyuarat 22 parlimen UK, perbelanjaan tambahan untuk pengurusan parlimen melebihi £50,000 (RM 262,924) perlu mendapat kelulusan parlimen 

Cadangan Suruhanjaya Parlimen ini dibawa kepada Menteri Parlimen (Leadr of The House) Jacob Rees-Mogg untuk membawa satu usul bagi mendapatkan kelulusan ahli parlimen. Usul tersebut berjaya diluluskan parlimen UK ada 21 April lalu. 

Parlimen Malaysia mampu bersidang secara maya

Usaha meaksanakan sidang parlimen Malaysia secara maya masih kabur. Sehingga hari ini pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibawah Menteri Undang-undang dan parlimen Malaysia masih lagi tidak memaklumkan tentang perancangan mengadakan sidang parlimen secara maya.

Berbeza dengan parlimen UK, pengurusan parlimen Malaysia terletak dibawah JPM. Disebabkan pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 pada tahun 1992, maka parlimen tidak boleh bertindak bebas dalam merencana sesuatu perancangan tanpa persetujuan JPM. 

Belanjawan 2020 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 145 juta untuk pengurusan parlimen Malaysia. Ini merupakan peruntukan tertinggi dalam tempoh empat tahun jika dibandingkan pada tahun 2016, iaitu sebanyak RM 131 juta. 

Peruntukan bagi Pentadbiran Am parlimen seperti menguruskan urus tadbir, teknologi maklumat dan komunikasi dianggarkan sebanyak RM 40.5 juta. Manakala anggaran peruntukan bagi pengurusan dewan berjumlah RM 98.5 juta untuk tahun 2020. 

Kedudukan kewangan ini jelas menunjukkan parlimen Malaysia mempunyai kemampuan untuk mengadakan sidang parlimen secara maya. Jika ia memerlukan peruntukan tambahan, kerajaan perlu segera membawa Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan untuk diluluskan parlimen. 

Adakah pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) diperlukan terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan pelan perancangan persidangan parlimen secara maya oleh JPM atau kerajaan persekutuan? 

Langkah seterusnya 

Ada juga perdebatan mengenai kelewatan kerajaan untuk bertindak dan keperluan untuk Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (JPMDR) untuk bermesyuarat bagi terlebih dahulu untuk meminda peraturan majlis persidangan bagi menggunakan pendekatan maya. Dalam kekaburan ini, maka apakah langkah seterusnya untuk merealisasikan sidang parlimen secara maya?

JPM dan JPMDR perlu bersama merencanan perancangan sidang parlimen secara maya. Pendekatan ini akan memudahkan kedua-dua belah pihak dalam meneliti setiap aspek seperti pindaan peraturan mesyuarat, kewangan, kelancaran dan kelengkapan teknologi dalam menlaksanakan pendekatan maya.  

Sekiranya kedua-dua pihak berjaya membentangkan pelan persidangan maya, maka Menteri Undang-undang perlu membawa satu usul pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk diluluskan oleh parlimen pada persidangan Julai 2020. 

Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham mengatakan bahawa pandemik Covid-19 di Malaysia boleh berlarutan hingga tahun hadapan selagi tiada vaksin. Beliau menggunakan unjuran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi melihat situasi Covid-19 di Malaysia. Maka ada keperluan untuk parlimen menggunakan persidangan maya ketika risiko Covid-19 masih lagi membimbangkan. 

Dalam tempoh yang panjang ini, tiada sebab yang kukuh untuk mengenepikan perkhidmatan parlimen dalam membahaskan isu rakyat dan ekonomi. Persidangan maya merupakan langkah yang paling selamat dan berkesan untuk menghidupkan institusi parlimen berhadapan kebiasaan baharu. – 22 Mei, 2020.

* Fakhrurrazi M. Rashid, penyelaras penyelidikan Refsa

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen