SEBANYAK 174 rumah ibadat bukan Islam akan dibenar beroperasi mulai 10 jun di seluruh negara pada hari penting dengan prosedur yang ketat, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, rumah ibadat itu hanya dibenarkan memuatkan sehingga 30 orang mengikut keluasan dan tidak boleh melibatkan kehadiran warga emas dan kanak-kanak.
“Kalau kecil kenalah kurang dari 30 orang,” katanya dan menambah kebenaran itu untuk rumah ibadat di zon hijau dan hanya tertakluk kepada penganut warga Malaysia.
Kebenaran itu hanya untuk hari penting mengikut agama masing-masing, katanya yang menjelaskan kebenaran operasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat tersebut.
“Contohnya untuk penganut Kristian hari Ahad sahaja dibenarkan. Untuk agama lain juga mungkin satu atau dua hari sahaja seminggu,” katanya lagi.
Tambahnya, jumlah 174 rumah ibadat tersebut yang turut termasuk tokong dan gurdawara hanya merangkumi 1% daripada keseluruah rumah ibadat bukan Islam seluruh Malaysia.
“Ini persetujuan yang dicapai bersama,” katanya yang menambah ia diputuskan dengan persetujuan daripada ketua-ketua agama.
Kebenaran tersebut juga akan ditarik balik sekiranya terdapat pelanggaran prosedur, katanya. – 21 Mei, 2020.
Komen