Cabaran Dr Mahathir untuk rebut Bersatu


Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak ada banyak pilihan lagi dalam perjuangannya menentang Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan kembali kuasa dalam Bersatu. – Gambar fail AFP, 21 Mei, 2020.

DR Mahathir Mohamad nampaknya tewas dalam perlawanan dengan Muhyiddin Yassin untuk terus berkuasa dalam Bersatu dan kini akan bergantung kepada pemilihan untuk melihat sama ada beliau mendapat sokongan mencukupi untuk merebut parti yang diasaskannya itu, kata penganalisis politik.

Mereka berkata bekas perdana menteri itu tidak ada banyak pilihan lain selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) berkata beliau bukan lagi pengerusi Bersatu susulan meletak jawatan pada 24 Februari.

Bagaimanapun, Dr Mahathir semalam mempertikaikan pengumuman RoS yang beliau bukan lagi pengerusi Bersatu.

Dalam surat peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla kepada RoS, beliau berkata keputusan agensi itu sebelah pihak, dan gagal mempertimbangkan yang peletakan jawatan itu ditolak oleh pemimpin kanan parti.

Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata berdasarkan kepada surat RoS itu, Dr Mahathir tewas dalam perjuangannya menentang Muhyiddin yang juga presiden parti.

“Beliau boleh memilih untuk membawa isu itu ke mahkamah, berunding lagi dengan Muhyiddin untuk mendapatkan situasi menang-menang atau ambil semula kawalan Bersatu menerusi pemilihan parti,” katanya yang juga pensyarah pengajian Melayu.

Sepanjang minggu lalu, Dr Mahathir mempersoalkan hak Muhyiddin untuk membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari dan menjadi perdana menteri ke-8 pada 1 Mac.

Satu rakaman audio yang terbocor, dipercayai dari mesyuarat majlis tertinggi Bersatu pada 23 Februari menunjukkan Muhyiddin pada awalnya bersetuju memberi Dr Mahathir tempoh seminggu untuk membuat keputusan sama ada parti itu akan keluar PH atau tidak.

Tetapi pada 24 Februari, Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar PH, menyebabkan keruntuhan kerajaan itu. Pada hujung minggunya, Muhyiddin berjaya mendapat sokongan mencukupi daripada Barisan Nasional, GPS dan PAS untuk menjadi perdana menteri ke-8.

Pada Isnin, Dr Mahathir sekali lagi mendakwa beliau masih pengerusi, dan majlis tertinggi Bersatu tidak menyokong keputusan keluar PH.

Tetapi RoS kemudian mengesahkan keputusan Muhyiddin pada 24 Februari dengan berkata Dr Mahathir bukan lagi pengerusi kerana sudah meletak jawatan.

Pemimpin yang berpihak kepada Muhyiddin juga mendakwa mereka bersetuju Bersatu keluar PH.

Awang Azman, bagaimanapun percaya agak sukar untuk Dr Mahathir memenangi Bersatu semula dengan hanya sedikit ahli Parlimen menyebelahinya.

Dr Mahathir dijangka menang jawatan pengerusi Bersatu tanpa bertanding, tetapi anaknya Mukhriz mencabar jawatan presiden dipegang oleh Muhyiddin.

“Untuk ambil semula Bersatu, Dr Mahathir perlu sekutunya juga menang kerusi mencukupi dalam majlis tertinggi yang terdiri daripada 28 anggota,” kata Awang Azman.

Pengarah Eksekutif Ilhan Centre Mohd Azlan Zainal percaya peluang Muhyiddin lebih cerah kerana beliau juga perdana menteri.

“Menjelang pemilihan parti ini, kita menjangkakan Bersatu menyingkirkan Dr Mahathir. Tetapi itu juga langkah yang berisiko, dan mereka sebaliknya menggunakan RoS untuk meminggirkan beliau.

“Muhyiddin dalam kedudukan lebih berkuasa kerana beliau ada Mohamed Azmin Ali dan pemimpin Umno menyokongnya. Tambahan lagi beberapa ketua menteri. Beliau ada kelebihan,” katanya.

Beliau berkata penyokong Dr Mahathir dalam majlis tertinggi parti mungkin tidak akan dapat menyelamatkannya.

“Dr Mahathir hanya boleh berharap akar umbi Bersatu akan menyelamatkannya dalam pemilihan parti,” kata Azlan.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Mazlan Ali berkata beliau menjangkakan Dr Mahathir akan menggunakan sistem undang-undang terhadap Muhyiddin.

“Mereka akan mohon mahkamah menyemak semula kedudukan beliau sebagai pengerusi dan cuba mendapat undi simpati daripada ahli dan pemimpin Bersatu yang lain.

“Dr Mahathir juga akan terus memberi tekanan kepada Muhyiddin menerusi usul undi tidak percaya dan mencabar kesahan beliau sebagai presiden Bersatu dan perdana menteri,” kata Mazlan.

Mazlan berkata Dr Mahathir akan terus bekerjasama dengan PH dan Warisan untuk melawan Muhyiddin di Parlimen. – 21 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen