Perikatan Nasional masih tidak stabil selepas ucapan Titah Diraja


PADA 18 Mei 2020, ucapan Titah Diraja telah menggariskan beberapa hala tuju dan dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pembukaan sidang parlimen tersebut berlaku selepas siri peralihan kuasa kerajaan persekutuan daripada Pakatan Harapan (PH).

Hakikatnya, agenda dan dasar kerajaan yang terkandung dalam ucapan tersebut tidak memberi makna dan legitimasi yang kukuh buat PN kerana kedudukan mereka sebagai ‘kerajaan minoriti’, yakni kerajaan yang mempunyai sokongan majoriti yang nipis, bakal berhadapan dengan tekanan hebat daripada Parlimen.

Ucapan Titah Diraja merupakan satu tradisi parlimen Westminster di mana Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menyampaikan ucapan yang dipersembahkan perdana menteri di hadapan ahli parlimen, seperti yang terdapat dalam Perkara 60, Perlembagaan Persekutuan.

Selain Titah Diraja, ia dipanggil sebagai ‘Ucapan Dasar Kerajaan’ yang dirangka sendiri oleh jemaah menteri bagi memberitahu dasar dan perancangan undang-undang untuk dibawa ke Parlimen dalam tahun tersebut. Ini bersesuaian dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan YDPA bertindak atas nasihat perdana menteri.

Namun, ucapan dasar kerajaan kali ini memperlihatkan beberapa kelemahan dan tidak memberi impak yang penting dalam memandu kesejahteraan negara berhadapan dengan “kebiasaan baharu” dan krisis Covid-19.

Kerajaan PN tidak memberi penekanan yang jelas tentang situasi pentadbiran negara dari sudut ekonomi dan pengurusan krisis secara terperinci. Kesemua ucapan menjurus kepada perkara dasar yang terlalu umum tanpa meletakkan kepentingan yang jelas kepada hala tuju kerajaan.

Di manakah unjuran dan angka mudah yang menunjukkan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi Prihatin 2020?

Menteri Kewangan berkata pelaksanaan pakej ekonomi telah mencapai 69 peratus dengan perbelanjaan sebanyak RM180 bilion pada 14 Mei 2020. Mengapa maklumat ini tidak dimasukkan sebahagian daripada kandungan ucapan?

Tanpa maklumat ini, kerajaan PN tidak komited dan terbuka untuk memberitahu Parlimen akan prestasi mereka menguruskan negara semasa Covid-19.

Komitmen kerajaan PN dipertikai apabila dasar dalam ucapan tersebut tidak memberi gambaran jelas akan ‘exit plan’ kerajaan dalam membina ekonomi dalam kerangka “kebiasaan baharu” pasca-Covid-19.

Ini bermakna, kedudukan negara mendepani Covid-19 masih diragui memandangkan pandemik ini akan berterusan dalam jangka masa panjang.

Apa yang kita dapat saksikan, ucapan dasar kerajaan tempoh hari hanya satu ‘publisiti politik’ daripada PN untuk mendapatkan kepercayaan rakyat selepas ‘Langkah Sheraton’. Kerajaan PN terpaksa menggunakan ucapan ini bagi mengukuhkan legitimasi mereka.

Berbeza dengan ucapan Titah Diraja kerajaan PN di Perak pada 12 Mei lalu apabila baginda Sultan Perak memberi pengiktirafan kepada usaha kerajaan negeri PH sepanjang 22 bulan memerintah dalam usaha memacu ekonomi negeri ke tahap memberangsangkan.

Agak tidak molek apabila ucapan dasar kerajaan PN  pada 18 Mei tidak mengiktiraf penghargaan kepada kerajaan PH dalam mentadbir negara sepanjang 22 bulan.

Politik tidak matang ini telah membawa perpecahan yang lebih kritikal ketika Malaysia berhadapan dengan krisis ekonomi yang berisiko tinggi.

Perbahasan usul ‘menjunjung kasih’ dan undian perlu menjadi agenda utama untuk meluluskan ucapan Titah Diraja tersebut apabila parlimen bersidang pada 13 Julai 2020.

Meskipun undian Titah Diraja bukan satu undian ‘formal’ seperti undi tidak percaya kepada perdana menteri, tetapi ia boleh mencabar kedudukan kerajaan PN yang mempunyai majoriti yang nipis.

Hakikatnya, sokongan ahli parlimen merupakan punca kuasa kestabilan kerajaan PN, bukan naratif politik yang dibina di luar tanpa cabaran dalam parlimen. Maka, boleh dikatakan undian menolak ucapan dasar kerajaan mempunyai risiko yang sama dengan undi tidak percaya perdana menteri.

Perkara 63(5) Perlembagaan Persekutuan menghalang ahli parlimen mengkritik dan mempersoalkan kedudukan institusi raja dan YDPA. Perkara 63(2) jelas melindungi hak ahli Parlimen untuk bebas mengundi segala usul-usul dibawa dalam Parlimen.

Oleh itu, dakwaan ahli parlimen menolak ucapan Titah Diraja sebagai menderhaka adalah tidak tepat. Menyemak, membahas dan mengundi ucapan Titah Diraja merupakan satu tugas ahli Parlimen bagi memastikan dasar kerajaan telus dan berkesan.

Kerajaan minoriti PN akan berhadapan dengan tekanan di Parlimen untuk meluluskan rang undang-undang dan usul kerajaan.

Suka atau tidak, mereka terpaksa menjalankan kerjasama ‘dwipartisan’ dengan pembangkang untuk memudahkan urusan kerajaan atau terpaksa menanggung kekalahan berulang kali di Parlimen.

Kedudukan kerajaan PN akan lebih sukar sekiranya mereka terus mengutamakan percaturan politik berbanding usaha membina semula ekonomi negara dan rakyat yang kian melarat.

Ucapan Titah Diraja tidak mampu menyelamatkan kerajaan PN kerana penilaian rakyat terhadap mereka masih berpandukan prestasi dan dasar ekonomi yang bakal dilaksanakan.

Prestasi dan keberkesanan kerajaan PN dalam tadbir urus negara merupakan indikator yang akan dinilai rakyat dan Parlimen.

Jika tadbir urus kerajaan PN baik, maka tiada sebab untuk rakyat tidak memilih mereka pada pilihan raya akan datang. Tetapi, sejauh manakah kerajaan PN mempunyai masa melakukan reformasi ekonomi sedangkan kedudukan politik mereka sehingga hari ini masih tidak stabil? – 21 Mei, 2020.


* Fakhrurrazi Rashid, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen