Putrajaya berhasrat jadikan 95% perkhidmatan tersedia dalam talian


Sheridan Mahavera

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed berkata krisis Covid-19 mendorong Putrajaya untuk lebih agresif dalam mencapai tujuan ini agar rakyat dan perniagaan dapat pulih lebih cepat dari pandemik itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2020.

PUTRAJAYA menyasarkan untuk menjadikan 95% perkhidmatan kerajaan tersedia dalam talian sebagai sebahagian daripada pelan transformasi digital, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed.

Pada masa yang sama, pentadbiran Perikatan Nasional mahu 70% komunikasi dan perkhidmatan antara kerajaan didigitalkan, kata Mustapa yang mengetuai unit perancang ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Krisis Covid-19 mendorong Putrajaya untuk lebih agresif dalam mencapai tujuan ini agar rakyat dan perniagaan dapat pulih lebih cepat dari pandemik itu, katanya kepada sebuah webinar bertajuk “Rebuilding the Economy with Enabling Policies”.

“Kita harus membuat orang kembali bekerja dan perniagaan beroperasi semula,” kata Mustapa di webinar yang dianjurkan bersama oleh Microsoft, EPU dan firma perunding, Roland Berger.

“Untuk ini, kami telah menerapkan pendekatan pemerintah-berpusat dan pendekatan menyeluruh kerajaan yang mana kami menggabungkan orang, proses dan teknologi untuk menyokong dasar dan pengembangan program.

“Kami mahu perkhidmatan kerajaan tersedia dalam talian sebanyak mungkin, sebanyak 90% hingga 95% atau bahkan 100%. Untuk antara kerajaan, sasarannya adalah 70%.

“Warganegara dan perniagaan lebih mahukan perkhidmatan ini dengan satu butang klik jadi kami ingin membawa proses ini dari kaunter fizikal ke dalam talian.”

Tambah Mustapa, bagi memenuhi sasaran rancangan transformasi digital, pihak pentadbiran akan melabur lebih banyak dalam mendidik tenaga kerja di masa hadapanya termasuk memupuk minat dalam mata pelajaran STEM untuk pelajar.

“Kita akan membina perkongsian awam-swasta yang kuat kerana kita mempunyai tradisi yang panjang dan ini penting dalam pembangunan sosio-ekonomi kita.”

Tambah Mustapa, Putrajaya akan memastikan pelan transformasi digital adalah inklusif dan tiada yang ketinggalan.

“Jangkaan masyarakat umum adalah tinggi dan kerajaan perlu mencapainya dan terus ke hadapan. Oleh itu, sangat mustahak untuk bekerjasama dengan sektor swasta.”

“Dalam normal baru ini, kita menghadapi cabaran dan kita harus menggerakkannya semula, sehingga kita dapat berada di jalan ke arah pemulihan.” – 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen