Saya bina MISC dari kosong sebelum diminta jual oleh Tun Razak, kata Kuok


TAIKUN besar Malaysia Robert Kuok berkata, beliau menubuhkan syarikat perkapalan kebangsaan pertama iaitu Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad (MISC) atas semangat patriotik, sebelum mengundur diri menjadi pemegang saham minoriti akibat permintaan berulang bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein. 

Dalam petikan autobiografi Kuok, “Robert Kuok, A Memoir” yang diterbitkan oleh South China Morning Post hari ini, “Raja Gula” Malaysia itu menceritakan bagaimana beliau melancarkan syarikat perkapalan kebangsaan itu.

Katanya, semangat patriotismelah yang membuatkan beliau mahu menubuhkan syarikat itu selepas mendapat tahu syarikat perkapalan terbesar British, Blue Funnel Group akan menubuhkan syarikat perkapalan kebangsaan selepas kemerdekaan Malaysia.

“Minat saya disebabkan semangat patriotisme — hasrat untuk membantu Malaysia menubuhkan syarikat perkapalan sendiri yang tidak terikat dengan bekas kerajaan penjajah British yang menggunakan Blue Funnel.

“Saya mula berminat dengan perkapalan sejak 1964 kerana pembelian besar gula kita, gandum untuk kilang gandum kita dan aktiviti perdagangan komoditi antarabangsa kita,” tulisnya.

Kok, 94, juga orang ke-54 terkaya dunia mengakui beliau “tidak tahu apa-apa mengenai perkapalan” malah tidak mampu untuk menyerah memo permohonan. Itulah sebabnya beliau mendapatkan rakan kongsi.

Justeru beliau menghubungi Tsao di Hong Kong — lelaki yang arif mengenai perkapalan itu melalui seorang rakan Melayunya, sebelum mencadangkan perkongsian perniagaan yang membawa kepada persetujuan bersama.

Beliau masih ingat bagaimana beliau mengirim memo atas nama bersama antara Kuok Brothers dan Tsao’s International Maritime Carriers yang kemudiannya menjadi peneraju utama bidang itu.

Katanya, mereka bertemu di Kuala Lumpur, berjumpa dengan menteri-menteri kabinet dan dalam tempoh dua atau tiga minggu, mereka dipilih Kabinet untuk memulakan syarikat perkapalan kebangsaan itu.

“Kami umpama kuda hitam yang datang entah dari mana dan berjaya menjadi pilihan! Saya menjadi pengerusi lembaga pengarah dan menyediakan panduan pengurusan perniagaan manakala Tsao menyediakan kepakaran dalam perkapalan,” katanya.

Bila mendapat tahu timbalan perdana menteri kedua Malaysia Dr Ismail Abdul Rahman meletak jawatan kerana kanser pada 1968 ketika MISC baru ditubuhkan, Kuok menjemput beliau menjadi pengerusi syarikat itu.

Kuok mengambil alih selepas Dr Ismail kembali ke Kabinat selepas rusuhan 13 Mei 1969.

Beliau menulis bagaimana dua kapal pertama MISC yang datang dari Jepun dikenali sebagai “kapal berhutang darah” atau “kapal muhibah” sebagai pampasan atas pembunuhan beramai-ramai tentera Jepun terhadap orang Cina Malaya. 

Pampasan itu datang dari MCA dan disokong oleh bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman.

“MISC bermula dengan dua kapal kargo ini dan dibayar secara bulanan, secara sewa-carter. Manakala arkitek kapal Tsao dan juruteranya di Hong Kong mengawal selia reka bentuk dan pembinaannya di Jepun.

“Tunku Abdul Rahman memberi pandangan yang sangat meyakinkan mengenai reka bentuk bendera untuk kapal ini.”

Kuok berkata MISC mempunyai modal awal sebanyak RM10 juta, yang mana Kuok Brother sebagai pendahulu mendapat 20% dan Tsao sebanyak 15%.

Memandangkan kedua kapal itu adalah pembaikpulihan dari Jepun kepada MCA, bukannya kepada Malaysia, kapal-kapal itu dinilai dengan nilai yang munasabah. MCA diberi saham MISC sebagai ganti pembayaran.

“MCA dan persatuan Cina lain keseluruhannya mengambil 20 hingga 30%. Jadi dari mula pegangan Kuok Brothers, Frank dan kumpulan MCA secara bersama adalah lebih daripada 50%.

“Di awalnya kami mempunya ahli lembaga yang bersatu padu. MISC mula berjalan pada setengah tahun kedua 1969 dan dengan cepat berkembang,” katanya.

Kuok memberi kredit kepada Tsao sebagai timbalan pengerusi MISC yang memperkenalkan beliau dengan Eddie Shih, orang Shanghai yang bekerja sama dengan Tony Goh, pakar perkapalan dari Singapura yang kemudiannya membawa masuk pengarah pengurusan MISC Leslie Eu, seorang Cina dari Burma.

“Dalam tempoh setahun selepas MISC ditubuhkan, Tun Razak yang ketika itu perdana menteri memberitahu saya. Razak cakap, ‘Saya nak isukan saham baharu 20%. Saya kena tekan sebab saham melayu tak cukup tinggi dalam pegangan saham.’

“Saya kata, ‘Tun, awak seriuskah dengan permintaan ni?’ Beliau jawab, ‘Ya, Robert.’ Jadi saya balas yang saya akan buat. Saya pulang dan dengan sedikit ‘main kata’ berjaya meyakinkan lembaga pengarah untuk keluarkan resolusi mengecualikan hak pemegang saham sedia ada (MISC ketika itu masih belum syarikat awam).

“Razak meletakkan semua pegangan baharu itu kepada agensi kerajaan. Jadi, pegangan saya dicairkan kepada 20 daripada 120, dan Frank mendapat 15 daripada 120,” kata Kuok.

Katanya Razak datang kepadanya setahun atau dua tahun kemudian dengan berkata beliau “ditekan hebat” dalam mesyuarat Kabinet.

Kuok berkata yang Razak memberitahunya: “Kau tahu, Robert, inilah nilai kejayaan kau. MISC sedang baik, ramai orang iri hati.”

Razak memberitahu beliau untuk mengisukan lagi 20% agar dapat diberikan setiap 5% itu kepada empat bandar pelabuhan di Malaysia.

“Ini melibatkan peningkatan modal asas kepada 140 daripada 100, menjadikan kerajaan Malaysia sebagai pemegang saham tunggal terbesar dan meletakkan Kuok Brothers pemegang saham kedua terbesar. Dan beliau sekali lagi mahukan saham-saham yang diterbitkan pada harga asal,” kata Kuok.

Beliau kemudiannya memberitahu Razak: “Tun, saya sentiasa bekerjasama dengan awak, tetapi semakin lama semakin susah. Dah tiga, empat tahun sejak penubuhan, tetapi saya tak selesa untuk meminta premium memandangkan syarikat sedang rancak membesar.

“Jadi, saya akan balik dan tanya lembaga pengarah untuk isukan saham ini untuk awak. Tapi Tun, bolehkah awak janji ini adalah kali terakhir?’ Beliau senyum dan dengan lembut menunjukkan tanda bersetuju, tanpa berkata apa-apa.”

Kuok juga berkata, sebelum MISC menjadi syarikat awam pada 1987, beliau membuat tindakan radikal menjual 15% saham syarikat kepada pengarah-pengarah, staf dan kapten kapal yang berhak yang telah bersama menjayakan syarikat itu.

“Ramai orang yang mendapat manfaat dari tindakan itu. Saya sentiasa percaya dalam beberapa hal yang bersifat socialisme terutamanya bila sudah buat banyak duit. Awak sendiri tahu, bukan awak seorang yang lakukan semua ini; ia adalah kerjasama semua orang.

“Saya terinspirasi dengan contoh Genghis Khan yang menawan banyak bandar yang kemudiannya akan berkongsi dengan jeneral dan askar-askarnya. Dia bukan seorang yang pentingkan diri, dan sebab itulah dia adalah antara jeneral terhebat di dunia ini,” tulis Kuok. – 27 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Misc akhirnya lingkup jugak ditangan ketuanan melayu

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • Kalau benar "dijual", tak usahlah complain, walaupun secara paksa. Yg kecewakan kalau di paksa "beri".

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan