Kerajaan masih tunggu pengumuman haji dari Arab Saudi


Alfian Z.M. Tahir

Pada April, Arab Saudi meminta umat Islam menangguhkan persiapan haji susulan situasi tidak menentu berhubung wabak koronavirus. – Gambar EPA, 20 Mei, 2020.

KERAJAAN perlu menunggu pengumuman dari Arab Saudi sebelum boleh mengumumkan rancangan haji tahun ini, kata Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Ismail memberitahu wartawan di Putrajaya yang kerajaan tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung rancangan perjalanan haji untuk rakyat Malaysia.

“Sama ada haji dibenarkan atau tidak, semuanya bergantung kepada Arab Saudi. Mereka belum membuat pengumuman.

“Justeru, kita tidak boleh membuat pengumuman. Kita harus tunggu apa kata kerajaan Arab Saudi,” kata menteri pertahanan itu.

Pada April, menteri hal ehwal haji Arab Saudi Mohammad Benten meminta umat Islam menangguhkan persiapan menunaikan haji tahunan buat sementara waktu susulan situasi tidak menentu berhubung wabak koronavirus.

Awal bulan ini, Arab Saudi menangguhkan haji dan umrah sepanjang tahun kerana bimbang koronavirus tersebar ke kota suci Islam, langkah yang belum pernah terjadi yang menimbulkan ketidakpastian mengenai haji tahunan.

Bagi umrah pula - yang pada tahun lalu menarik 2.5 juta jemaah - merupakan sumber pendapatan utama kerajaan. 

Tetapi ia boleh menjadi sumber penularan utama kerana akan menyaksikan para jemaah ke tempat ibadat.

Awal bulan ini, Arab Saudi menangguhkan solat di semua masjidnya kecuali dua tempat dalam usaha mengekang koronavirus. – 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen