Arahan kerja dari rumah masih berkuatkuasa, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Arahan kerja dari rumah mula dikuatkuasa sejak 18 Mac lalu selaras dengan PKP yang mahu mengekang wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2020.

KERAJAAN tidak pernah menarik balik arahan “kerja dari rumah” walaupun negara kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada kerajaan sudah membatalkan arahan kerja dari rumah yang mula dikuatkuasakan pada fasa pertama PKP 18 Mac lalu untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Arahan kerja dari rumah masih kekal. Kita tak menarik balik arahan itu tetapi sekarang sebilangan agensi kerajaan sudah mula beroperasi.

“Hanya 80% pekerja yang datang ke pejabat, 20% masih kerja dari rumah. Ini kerana mereka tidak dapat cari tempat untuk hantar anak mereka ketika bekerja. Tadika atau taska masih tutup,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata sekitar enam juta orang sudah kembali bekerja di bawah PKPB.

“Sehingga sekarang dijangkakan sekitar 6.64 juta atau 43.6% pekerja sudah kembali bekerja. Saya jangkakan angka ini akan meningkat dalam beberapa minggu akan datang,” kata Muhyiddin. – 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen