Makna ‘kerajaan beta’


Hasmi Hashim

RENUNG-RENUNGKAN. Halus-halus.

Saya yakin, Raja-raja Melayu juga ikuti dengan dekat keadaan di Parlimen sejurus titah perasmian oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Isnin, 18 Mei lepas. Selepas itu, tidak ada soal-jawab, tidak ada perbahasan – wakil rakyat hidupkan enjin kereta masing-masing, kemudian balik!

Mustahil Raja-raja Melayu menyukai keadaan di mana peranan Parlimen hanya dipergunakan untuk mendengar Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong sahaja. Ia tidak pernah terjadi.

Sementara Raja-raja Melayu sama sekali bukan perisai atau tembok politik kepada mana-mana sekalipun. Termasuk kepada sebuah kerajaan yang nampaknya rapuh.

Bukan serendah itu darjat dan maruah Raja-raja kita. Raja-raja Melayu. Bukan! Jangan seorang pun dalam kalangan rakyat sampai terfikir sebegitu. Jangan.

Raja dan institusi beraja di negara ini adalah atas semua kepentingan politik. Raja bukan untuk mana-mana parti. Bukan untuk Pakatan Harapan (PH), dan bukan juga untuk Perikatan Nasional (PN).

(Bagi memudahkan pembaca faham maksud tulisan ini, maka saya terpaksa menggunakan panggilan “Perikatan Nasional”, atau “PN” meski ia masih sebuah ikatan politik yang haram kerana tidak berdaftar).

Sejak Merdeka, Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan raja sangat tinggi, lagi mulia. Para pendiri negara kita sedar, kalau institusi beraja diletak setara politik – atau Raja dibenarkan bergulat dengan politik atau parti – maka institusi berkenaan bakal terlerai kehormatan dan kemuliaannya.

Selama lebih enam dekad, kehormatan institusi beraja sangat cantik dipelihara. Ia melambangkan Raja-raja kita dan kehormatan institusi beraja tidak boleh dijual-beli atau ditawar-tawar sama sekali.

Mereka yang mahu mengheret Raja Melayu ke kancah politik wajar diingatkan, usaha sebegitu tidak lain akan merendahkan institusi yang mulia. Dua tunggak negara, demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan tidak boleh dipisah-ceraikan. Keduanya tetap dalam satu jasad yang namanya Malaysia.

Selagi ada matahari dan bulan, adalah bayang-bayang. Begitulah ibaratnya hubung-kait antara sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan yang menjadi teras aturan negara ini.

Mencabut salah satu daripadanya akan merosakkan aturan berkenaan. Tidak boleh Berperlembagaan, tetapi tanpa Raja. Tidak boleh juga berdemokrasi, tetapi tanpa parlimen. Setiap satu diletak-dudukkan akan peranan masing-masing.

Indahnya aturan berkenaan ialah agar demokrasi tidak boleh dibolot satu pihak saja. Agar demokrasi tidak ditentukan hanya oleh sang Penguasa. Apabila makna demokrasi ditentukan oleh satu-satu pihak, maka ia bukanlah demokrasi lagi.

Seseorang perdana menteri selain perlu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, dia juga tentu sedar, dia boleh hilang kedudukannya di dalam Dewan Rakyat. Begitulah sesiapa pun tidak boleh membohongi Raja. Di samping demokrasi pada akhirnya bermakna kuasa rakyat sebagai kuasa terkuat.

Maka, elok benar apabila seorang Yang di-Pertuan Agong merasmikan sidang Parlimen – sepertimana seorang Sultan atau Yang di-Pertuan Negeri diberi kehormatan tertinggi untuk merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di sana adalah sangat layak bagi tiap-tiap Sultan atau Raja memakai istilah “Kerajaan Beta” sebagai ganti nama kepada kerajaan semasa, atau “government of the day”.

Sangat buruk dan tidak kena kalau digunakan kata lain seperti “kerajaan PN” – sedangkan di England, sebagai rujukan, titah ucapan Ratu Elizabeth II juga menggunakan istilah “my government”.

Tidak pernah kita mendengar, Ratu England memakai istilah “Conservative’s government” (kerajaan Parti Konservatif), atau “Labor’s Government” (kerajaan Parti Buruh) – “as my Government”, yang bermaksud “Kerajaan beta”.

Pun begitu, apabila sang Ratu menyebutkan “my government” ketika United Kindom ditadbir oleh Parti Konservatif misalnya, ia tidak bermakna Ratu menjadi penyokong Parti Konservatif. Samalah halnya kalau dalam sesuatu waktu yang memerintah ialah Parti Buruh, bukan pula bermakna Ratu menyokong Parti Buruh.

Dalam aturan bangsa Inggeris, Ratu tidak boleh menyertai apa-apa parti politik. Tidak boleh cenderung atau apatah lagi menyokong mana-mana parti. Itu bukan tugas seorang Raja atau Ratu.

Kalau ia terjadi, maka gugur darjatnya sebagai seorang kepala negara. Jadilah dia seperti orang biasa berdarah merah saja.

England memang sangat memuliakan sistem beraja beribu tahun lamanya. Sang raja ditentukan oleh undang-undang dan protokol.

Tidak bolehlah bagi seorang raja berkelakuan sama macam seorang kerani yang boleh disuruh-suruh, diupah-upah apatah lagi diminta menyokong mana-mana parti demi parti berkenaan bertahan sebagai sebuah kerajaan.

Mungkin bangsa Inggeris sudah belajar betapa peri bahayanya kalau raja boleh disogok. Dalam beberapa babak sejarah Melayu, kita juga beberapa kali menyaksikan kesan buruk kala mana Sultan dapat diperdaya oleh mereka yang rakus – sehingga misalnya orang Melayu kehilangan Singapura. Misalnya.

Cara penjajah membeli Sultan ialah dengan jalan paling mudah iaitu menggunakan dolar. Dibayar.

Kalau pun seseorang Sultan ingin memuji pihak penguasa, tidaklah dipuji ketika penguasa memegang tampuk pemerintahan. Kebijaksanaan begitu dapat kita dengar di dalam Titah Ucapan Sultan Perak ketika merasmikan DUN Perak, 11 Mei lalu.

Baginda antara lain bertitah dengan memberikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan terdahulu, yakni PH. Titah Ucapan Sultan Nazrin Shah tidak dilihat sebagai cenderung menyokong kerajaan semasa. PH bukan lagi kerajaan.

Demikian Titah Sultan dilihat sangat adil dan cocok dengan kedudukan baginda sebagai Raja bagi sebuah negeri yang berdaulat.

Kehormatan dan peranan seseorang Sultan atau Raja bukanlah perkara baru di negara kita. Pak Hairi yang jadi pekebun kecil di Rembau, Wak Mat yang jadi nelayan di Pontian, Cik Den meniaga mi bandung udang galah di Bukit Kepong, mahupun Zikri sebagai pomen di AU3 Hulu Klang pun tahu hukum dan aturan ini.

Betapa tingginya kemuliaan Raja Melayu, tidak perlulah direndah-rendahkan lagi.

Raja kita selamat bertahkta. – 20 Mei, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen