POPE Francis memulakan lawatan ke-21 dan mungkin menjadi lawatan luar negara paling rumit, iaitu lawatan enam hari ke Myanmar dan Bangladesh ketika krisis pelarian Rohingya masih meruncing.
Ketua agama berusia 80 tahun itu menaiki penerbangan dari Rome ke Yangon, ibu kota Myanmar, kira-kira 9 malam tadi dan dijangka tiba awal pagi ini.
Beliau berharap untuk menggalakkan usaha membendung krisis yang menyaksikan masyarakat minoriti Islam Rohingya, di negara majoriti Buddha itu, terpaksa melarikan diri dan kini memenuhi kem pelarian di sempadan Bangladesh.
“Saya minta anda bersama saya berdoa untuk mereka ini, semoga kehadiran saya jadi petanda persahabatan dan harapan,” katanya di hadapan 30,000 penganut Katolik di Dataran St Peter, sebelum berangkat semalam.
Kira-kira 620,000 Rohingya, iaitu separuh daripada jumlah keseluruhan mereka lari dari Rakhine, Myanmar ke Bangladesh sejak Ogos lalu akibat tindakan keganasan terhadap mereka, di mana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat menggambarkan ia sebagai pembersihan etnik.
Pegawai khas berkata Francis akan menyampaikan pesanannya menerusi ucapan di upacara keagamaan di Yangon dan dijangka dihadiri kira-kira 660,000 penganut Katolik, yang juga akan meraikan kedatangan kali pertama pope ke sana. Myanmar mempunyai kira-kira 1.3 bilion penganut Katolik.
Francis juga dijadualkan bertemu pemimpin Aung San Suu Kyi dan ketua panglima tentera Min Aung Hlaing.
Pemimpin gereja tempatan dinasihatkan jangan sebut pun perkataan “Rohingya” kerana bimbang ia kana menyentuh sensitiviti di negara itu, susulan sentimen masyarakat Buddha di negara itu anti Muslim sangat kuat. – AFP, 27 November, 2017.
Komen