Setiap 10 minit seorang kanak-kanak Yaman mati, kata PBB


Dua juta kanak-kanak di Yaman kini menderita kekurangan nutrisi kritikal dan hampir setiap budak lelaki dan perempuan Yaman terdesak memerlukan bantuan kemanusiaan, kata Geert Cappelaere, pengarah serantau Unicef untuk Timur Tengah dan Afrika Utara.– Gambar AFP, 26 November, 2017.

LEBIH daripada 11 juta kanak-kanak di Yaman terdesak memerlukan bantuan kemanusiaan, kata tabung kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Ahad.

“Sekarang boleh dikatakan yang Yaman adalah salah sebuah tempat terburuk di dunia untuk menjadi kanak-kanak,” kata Geert Cappelaere, pengarah serantau Unicef untuk Timur Tengah dan Afrika Utara.

“Dua juta kanak-kanak di Yaman kini menderita kekurangan nutrisi kritikal dan hampir setiap budak lelaki dan perempuan Yaman terdesak memerlukan bantuan kemanusiaan,” katanya pada sidang media di Amman, Jordan.

“Sekarang kami menganggarkan setiap 10 minit seorang kanak-kanak Yaman mati kerana penyakit yang boleh dielakkan.”

Pegawai PBB memberi amaran yang Yaman boleh berdepan krisis kebuluran terburuk dunia sejak berdekad kecuali sekatan kejam dikenakan pakatan diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak Huthi ditarik balik.

Sekatan itu yang dikenakan selepas tentera Arab Saudi memintas peluru berpandu dilancarkan pemberontak Huthi yang mensasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh awal bulan ini semakin mengukuhkan taklukan pemberontak di kawasan pelabuhan Hodeida, pusat utama pemindahan makanan dan ubat-ubatan dikendalikan PBB.

Sebuah pesawat PBB yang membawa vaksin diperlukan kanak-kanak mendarat di ibu kota Yaman, Sanaa yang ditakluk pemberontak pada Sabtu selepas pakatan tentera Saudi menarik balik sekatan buat seketika selepas amaran dikeluarkan ribuan orang boleh mati kerana kekurangan bekalan perubatan.

Tetapi pegawai PBB berkata penghantaran makanan dan ubat-ubatan yang sangat diperlukan ke Hodeida masih tidak dapat dilakukan kerana sekatan.

Cappelaere mengalu-alukan pembukaan Lapangan Terbang Sanaa tetapi mengatakan lebih banyak bantuan diperlukan.

“Perang di Yaman sedihnya adalah perang terhadap kanak-kanak,” kata Cappelaere menambah yang hampir 5,000 kanak-kanak sudah terbunuh atau cedera parah sejak Arab Saudi memulakan kempen ketenteraan menyokong kerajaan pada Mac 2015.

Pakatan tentera itu masuk campur untuk megembalikan kuasa kepada kerajaan Yaman selepas pemberontak Huthi yang disokong Iran menyingkir kerajaan dari Sanaa.

Perang itu sudah membunuh lebih 8,600 orang, 2,000 orang lagi terbunuh kerana wabak taun.

Yaman sangat bergantung kepada barangan import termasuklah gandum sebagai makanan ruji mereka, dan kumpulan antarabangsa memberi amaran yang bantuan kemanusiaan kini hanya mampu menampung sebahagian kecil keperluan rakyat Yaman yang terdesak. – AFP, 26 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen