JUMLAH kematian gempa bumi besar yang melanda daerah Kermanshah, Iran bulan ini naik kepada 483 orang, kata agensi berita rasmi IRNA.
Peningkatan daripada jumlah 436 yang dilaporkan minggu lepas terjadi selepas ada mangsa terbunuh disebabkan kecederaan mereka dan pihak berkuasa mengenal pasti beberapa orang yang terbunuh tetapi dikebumikan tanpa dilaporkan, kata IRNA dan media lain Iran.
Gempa bumi bermagnitud 7.3 itu melanda kawasan pergunungan sempadan negara itu dengan Iraq pada 12 November lalu, mencederakan lebih 12,000 orang dan ribuan lagi hilang tempat tinggal.
Lapan orang terbunuh di kawasan Iraq.
Iran mempunyai aktiviti seismik yang aktif. Pada 1990, gempa bumi berskala 7.4 melanda utara Iran membunuh 40,000 orang, mencederakan 300,000 yang lain dan menyebabkan setengah juta hilang tempat tinggal. – AFP, 26 November, 2017.
Komen