Suri rumah terpaksa pinjam ceti haram kerana PKP


Angie Tan

Ramai yang terjejas akibat penguatkuasaan PKP yang terpaksa dilakukan bagi menghentikan rantaian jangkitan Covid-19, sejak 18 Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insigh, 19 Mei, 2020.

BIRO perkhidmatan awam parti-parti politik menerima banyak rayuan bantuan daripada mereka yang mengambil pinjaman wang daripada ceti haram untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pengadu daripada pelbagai latar belakang dan tidak terhad kepada penganggur, kata ketua biro MCA dan DAP kepada The Malaysian Insight.

Antaranya termasuk majikan yang kekurangan wang tunai kerana tiada pendapatan sepanjang PKP tetapi terpaksa membayar kos tetap.

Malah ada suri rumah yang membuat pinjaman kerana cuba membantu suami masing-masing yang hilang kerja atau menutup perniagaan mereka.

Ketua Biro Aduan DAP Wilayah Persekutuan Yew Jia Haur berkata walaupun pusat khidmatnya ditutup ketika PKP, beliau dan kakitangannya menerima sekurang-kurangnya satu atau dua kes meminta bantuan setiap minggu.

PKP yang dilaksanakan bertujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 bermula pada 18 Mac, melarang semua perniagaan beroperasi kecuali perkhidmatan penting. Sejak 4 Mei, syarat PKP dilonggarkan sedikit dan kebanyakan sektor ekonomi dibuka semula, tetapi kebanyakan pekerja dan pemilik perniagaan sudah pun terjejas.

PKP bersyarat atau PKPB dikuatkuasakan hingga 9 Jun.

Yew berkata mereka yang menggangur dan meminjam wang daripada ceti haram atau along memerlukan wang untuk teruskan hidup, sementara majikan mencari duit untuk membayar gaji pekerja mereka.

Sementara itu, suri rumah meminjam kerana cuba untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Michael Chong berkata pejabatnya menerima 10 permohonan bantuan dalam tempoh seminggu.

“Secara peribadi saya terima empat hingga lima panggilan mohon bantuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jumlah pinjaman daripada ceti haram biasanya kurang RM10,000, kata Chong.

“Jumlah pinjaman tidak tinggi, antara RM1,000 hingga RM2,000.” – 19 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen