Pakatan baru Islam akan hapuskan pengganas, kata putera mahkota Arab Saudi


Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman berikrar untuk “memburu pengganas sehingga semua mereka dihapuskan dari muka bumi” ketika pegawai 40 buah negara Islam berkumpul pada Ahad pada pertemuan pertama pakatan anti keganasan dunia Islam. – Gambar AFP, 26 November, 2017.

PUTERA Mahkota Arab Saudi berikrar untuk “memburu pengganas sehingga semua mereka dihapuskan dari muka bumi” ketika pegawai 40 buah negara Islam berkumpul pada Ahad pada pertemuan pertama pakatan anti keganasan dunia Islam. 

“Sejak beberapa tahun lepas, pengganas bergerak di semua negara kita…tanpa kerjasama kawal selia” antara pihak berkuasa negara, kata Putera Mohammed bin Salman yang juga merupakan menteri pertahanan Saudi dalam ucap tamanya di perhimpunan di Riyadh itu.

“Itu akan berakhir hari ini, dengan pakatan ini.”

Sidang kemuncak itu adalah pertemuan pertama menteri pertahanan dan pegawai kanan yang membentuk Pakatan Tentera Islam Menentang Keganasan, secara rasminya melibatkan 41 buah negara dan dianggap “barisan hadapan negara Islam” menentang keganasan pelampau.

Pakatan itu diumumkan pada 2015 dibawah kelolaan Putera Mohammed, yang sejak dilantik menjadi pewaris takhta Arab Saudi pada Jun lalu menggemparkan arena politik rantau itu.

Pakatan itu dianggotai oleh negara majoriti Ahli Sunnah Wal Jamaah atau negara diperintah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ia tidak melibatkan sekutu lama Arab Saudi, Iran serta Syria dan Iraq yang pemimpinnya mempunyai hubungan rapat dengan Tehran.

Pertemuan pada Ahad itu kebetulan berlaku ketika ketegangan antara Riyadh dan Tehran semakin memuncak terutamanya berkaitan perang di Syria dan Yaman serta struktur politik Lebanon.

Arab Saudi menuduh Iran menyokong kumpulan bersenjata di Timur Tengah termasuklah Hezbollah Syiah di Lebanon dan pemberontak Huthi di Yaman.

Pertemuan itu juga berlangsung ketika beberapa pakatan ketenteraan yang disokong sekutu utama Saudi, Amerika Syarikat sedang bertempur untuk menyingkirkan pemberontak IS daripada kawasan taklukan terakhir mereka di Iraq dan Syria.

Mesyuarat pakatan di Riyadh itu dihadiri antaranya Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Afghanistan, Uganda, Somalia, Mauritania, Lebanon, Libya, Yaman dan Turki.

Jeneral bersara Pakistan, Raheel Sharif dilantik sebagai ketua komander pakatan.

Matlamat pakatan itu adalah untuk “menggerakkan dan menyelia penggunaan sumber, mewujudkan pertukaran maklumat dan membantu negara ahli membina keupayaan anti keganasan mereka,” kata Sharif.

Walaupun Qatar menganggotai pakatan itu, tetapi tiada pegawai Qatar yang hadir. Negara itu kini menjadi sasaran pemulauan enam bulan diketuai Arab Saudi.

Bendera Qatar juga tidak dikibarkan. 

Mesir yang menghantar pegawai tentera dan bukannya menteri pertahanan pada mesyuarat itu, kerana masih dikejutkan dengan serangan di sebuah masjid pada Jumaat yang membunuh lebih 300 orang ketika solat Jumaat.

Walaupun IS tidak mengaku bertanggungjawab, pihak berkuasa Mesir mengatakan organisasi itu adalah suspek utama kerana masjid sasaran serangan adalah tumpuan pengikut Sufi yang dianggap IS sebagai sesat.

Putera Mohammed berkata “kejadian menyakitkan” pada Jumaat adalah peringatan “bahayanya keganasan dan pelampau”.

“Selain membunuh orang tidak berdosa dan menyebarkan kebencian, keganasan dan pelampau memburukkan imej agama kita,” katanya.

Sejak dilantik sebagai putera mahkota, Putera Mohammed bergerak pantas mengukuhkan kuasanya termasuklah mengumumkan usaha memerangi keganasan dan korupsi.

Tindakan menghapuskan korupsi dalam Arab Saudi menyaksikan sekitar 200 elit negara itu termasuklah putera raja, menteri dan taikun perniagaan ditahan atau dipecat awal bulan ini. – AFP, 26 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen