Iran tuduh AS sokong kekejaman Arab Saudi di Yaman


Perang Saudara Yaman kini dianggap konflik terburuk sedang berlaku, kanak-kanak dan wanita mangsa utama perang kini berdepan dengan masalah kebuluran. Iran menuduh Amerika Syarikat menyokong kekejaman Arab Saudi di situ. Arab Saudi mengetuai kempen ketenteraan untuk mengusir pemberontak Huthi dari Yaman. – Gambar AFP, 26 November, 2017.

IRAN pada Ahad menuduh Amerika Syarikat bertanggungjawab terhadap “kekejaman” di Yaman menerusi sokongannya kepada Arab Saudi yang mengetuai kempen ketenteraan memerangi pemberontak Huthi yang disokong Tehran.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Bahram Ghassemi berkata kenyataan White House pada Jumaat yang menyokong Riyadh “jelas dan tanpa ragu lagi membuktikan penglibatan dan tanggungjawab Amerika dalam kekejaman dilakukan Arab Saudi di Yaman”.

Dalam kenyataan itu, Washington menyuarakan “komitmen untuk menyokong Arab Saudi…menentang kekasaran Pengawal Revolusi Islam Iran dan pencabulan terang-terangan undang-undang antarabangsa.”

Musuh lama Iran majoriti Syiah dan Arab Saudi majoriti Ahli Sunnah Wal Jamaah seringkali menyokong pihak berlainan dalam konflik serantau daripada perang Yaman sehinggalah Syria.

Mereka memutuskan ikatan diplomatik pada Januari 2016 selepas pembantah Iran menyerbu bangunan diplomatic Arab Saudi sebagai tindak balas Riyadh menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ulama berpengaruh Syiah.

Pada awal November, Riyadh menuduh Tehran melakukan “provokasi langsung” selepas Arab Saudi memintas peluru berpandu dilancarkan pemberontak Huthi ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh.

Tetapi Ghassemi menafikan Iran mempunyai “apa sahaja hubungan ketenteraan dengan Yaman”, walaupun Tehran mengatakan ia menyokong Huthi secara politik dan berulang kali menuduh Arab Saudi mengebom orang awam.

Menuduh Washington melakukan dakwaan “yang tidak berasas”, Ghassemi berkata kenyataan AS pada Jumaat menunjukkan ia “secara terbuka menyokong…mempertahankan kekejaman” dilakukan Arab Saudi di Yaman.

Pakatan ketenteraan diketuai Arab Saudi memasuki Yaman pada Mac 2015 untuk menyokong Presiden Abedrabbo Mansour Hadi selepas Huthi berjaya menyingkirkan pemimpin itu memaksanya hidup dalam buangan.

Bulan lepas, PBB meletakkan pakatan itu dalam senarai hitam kerana membunuh dan mencederakan 683 kanak-kanak tahun lepas disebabkan konflik itu dan melaksanakan 38 serangan yang disahkan mensasarkan sekolah dan hospital.

Satu laporan yang dikeluarkan pertengahan November oleh Perkhidmatan Kajian Kongres menunjukkan Riyadh menandatangani perjanjian pembelian senjata api bernilai lebih AS$65 bilion (55 bilion euro) dengan Amerika Syarikat antara 2009 dan 2016.

“Sejak 2015, tentera Saudi yang dilatih AS menggunakan senjata berasal dari AS, bantuan logistik AS dan berkongsi maklumat risikan untuk menyokong operasi kententeraan di Yaman,” kata laporan itu.

Kedua-dua pihak dalam konflik Yaman dituduh organisasi antarabangsa mengabaikan keselamatan orang awam.  – 26 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen