Demokrasi mati jika ahli Parlimen tak dibenar bersuara, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Kita tidak boleh terima alasan bahawa sidang hanya dibenarkan selama dua jam kerana pandemik Covid-19, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Mei, 2020.

JIKA wakil rakyat tidak dibenarkan bersuara di Parlimen itu tandanya demokrasi sudah mati, kata Dr Mahathir Mohamad selepas sidang Dewan Rakyat tersingkat dalam sejarah hari ini.

“Kami tidak dapat terima alasan kononnya kerana pandemik Covid-19 ini kita cuma boleh bersidang selama dua jam saja.

“Kalau mesyuarat penuh sehari, tak ada masalah,” kata presiden Bersatu dan bekas perdana menteri itu pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Jika rakyat dibenarkan bekerja, makan dan membeli belah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sudah tentu ahli Parlimen juga selamat untuk bersidang dan berbahas, tambah beliau.

“Sedangkan di Sabah tiga hari mesyuarat (Dewan Undangan Negeri).

“Tetapi di Kuala Lumpur ini barangkali angin ini penuh dengan Covid-19. Sebab itu tak berani, kalau kita bercakap dia keluar dari mulut.

“Parlimen berperanan gedung cakap… (tetapi) ini gedung bisu.

“Ini menandakan bahawa demokrasi sudah berakhir jika kami tak dibenarkan bersuara sebagai wakil rakyat,” jelasnya pada sidang media yang turut disertai oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal dan bekas menteri Kedah Mukhriz Mahathir.

Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak hadir.

Dr Mahathir ketika memulakan sidang media mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Parlimen yang membuat persiapan untuk Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di hari ini, termasuk menyusun tempat duduk sedang bagi memastikan jarak sosial dan memeriksa suhu badan dan memastikan kebersihan wakil rakyat sebelum masuk ke Dewan.

“Kami kena cuci tangan dua kali sebelum dibenarkan masuk,” kata ahli Parlimen Langkawi itu.

Sidang hari ini ditangguhkan selepas titah diraja dan Dewan Rakyat dijadual bersidang semula pada 13 Julai ini. – 18 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen