Jangan berhentikan pekerja kerana Covid-19, titah Agong


Chan Kok Leong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru kerajaan memberi perhatian untuk membantu syarikat dan perniagaan terjejas teruk akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2020.

MAJIKAN tidak wajar memberhentikan pekerja mereka hanya kerana pandemik Covid-19, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sambil menyeru seluruh rakyat agar sedia berkorban ketika waktu sukar sekarang.

“Beta memahami banyak industri dan perniagaan terjejas akibat wabak ini.

“Namun beta menyeru kepada para majikan untuk tidak membuang pekerja dengan sewenang-wenangnya.

“Semua pihak hendaklah bersedia melakukan pengorbanan demi meringankan bebanan rakyat jelata dan juga menyelamatkan ekonomi negara,” titah Al-Sultan Abdullah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.

Baginda juga menyeru kerajaan agar memberi perhatian untuk membantu syarikat dan perniagaan yang terjejas teruk seperti industri pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berharap inisiatif yang diambil oleh Majlis Tindakan Ekonomi termasuk memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM260 bilion bagi melindungi kebajikan rakyat dan ekonomi negara akan segera dirasai impaknya.

“Pakej tersebut adalah suatu yang amat besar dan luar biasa. Justeru, ia perlu disokong sepenuhnya oleh semua pihak.

“Beta yakin dengan kerjasama dan kesepakatan yang jitu, cabaran yang kita hadapi ini akan dapat kita tangani bersama. Insya-Allah,” titahnya.

Seruan perpaduan

Dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan kebimbangan terhadap polarisasi kaum dalam kalangan rakyat.

“Pada hemat beta, sebarang bentuk tindakan provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang, biarpun dilakukan oleh segelintir pihak, perlu dibendung sebelum ia merebak dan menjadi barah kepada kestabilan negara,” titah baginda.

Baginda mahu semua kaum menunjukkan sikap dan tauladan yang jujur untuk mengeratkan hubungan, demi kesepaduan sosial dan integrasi nasional.

“Beta menyambut baik pelaksanaan Pelan Tindakan Perpaduan Negara bagi memastikan agenda perpaduan nasional dapat diterapkan secara menyeluruh menerusi elemen-elemen kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandaskan kepada prinsip Rukunegara,” titahnya.

Sidang hari ini ditangguhkan selepas titah diraja dan Dewan Rakyat dijadual bersidang semula pada 13 Julai ini. – 18 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen