Sidang sehari elak politik tidak menentu, titah Agong


Chan Kok Leong

Kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Agong tiba di Parlimen pagi ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Mei, 2020.

YANG di-Pertuan Agong menyeru ahli politik supaya tidak mengheret negara ke kancah politik yang tidak menentu ketika negara dan rakyat sedang melawan pandemik Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Parlimen, hari ini.

“Beta ingin menasihatkan supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang cukup sukar akibat pandemik Covid-19.

“Kerana itulah kerajaan beta juga telah memutuskan majlis mesyuarat pertama yang berlangsung pada hari ini hanya mempunyai satu urusan majlis sahaja iaitu titah beta sempena pembukaan penggal Parlimen yang baru ini,” titah baginda.

Titah diraja itu disiarkan secara langsung di televisyen.

Baginda turut menggesa ahli Parlimen agar tidak caci mencaci antara satu sama lain sekiranya ada perbezaan pendapat.

“Perbezaan pendapat seharusnya menjadi landasan kepada pencetus idea-idea baharu untuk membangun dan menyatupadukan negara.

“Ahli yang berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam politik dan menjiwai keluh kesah rakyat. Tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu,” titah Agong.

Titah Seri Paduka sekaligus membuka Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14.

Persidangan hari ini,bagaimanapun, hanya dijalankan sehari untuk titah diraja selepas perbentangan perbelanjaan untuk mengurangkan kesan Covid-19 terhadap ekonomi dikeluarkan dari agenda minggu lalu.

Memperjelas rentetan kemelut politik negara yang berlaku pada Februari, Al-Sultan Abdullah bertitah pelantikan perdana menteri kelapan dibuat selepas parti-parti politik diberi masa yang mencukupi untuk membuat perhitungan secara demokrasi bagi menamakan calon masing-masing.

“Sekitar jam 5 petang pada 24 Februari, Beta telah berkenan menerima menghadap Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam pertemuan itu, Beta telah meminta Tun Dr Mahathir untuk tidak meletak jawatan (sebagai perdana menteri). Namun beliau tetap dengan keputusannya.”

Menegaskan bahawa krisis politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan, Yang di-Pertuan Agong bertitah baginda bertanggungjawab melantik seorang perdana menteri yang baharu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada Beta untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Lantaran itu setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Sesungguhnya Beta telah menggalas amanah dengan telus dan seadil-adilnya selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka turut berterima kasih kepada ahli Parlimen dan rakyat kerana kematangan mereka untuk membenarkan proses itu berlaku.

Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada 24 Februari apabila ahli partinya tetap mahu meninggalkan Pakatan Harapan.

Beliau turut mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri, yang mana usul itu diterima speaker Dewan Rakyat namun tidak dapat dibahaskan hari ini di Parlimen.

Walaupun masih ahli parti pemerintah, Dr Mahathir hari ini duduk bersama pembangkang.

Sidang hari ini ditangguhkan selepas titah diraja dan Dewan Rakyat dijadual bersidang semula pada 13 Julai ini. – 18 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen