Apakah kami dilupakan, soal rakyat Malaysia terkandas di India


Ravin Palanisamy

Ratusan pekerja migran dan penumpang di Bhopal, India beratur menunggu kereta api ke Chattisgarh untuk pulang ke kampung halaman susulan perintah pengurungan akibat Covid-19. – Gambar EPA, 18 Mei, 2020.

KEMENTERIAN Luar Negeri nampaknya terlepas pandang dengan nasib dialami beberapa rakyat Malaysia yang masih terkandas di India susulan perintah pengurungan kerana Covid-19.

Beberapa orang di antara mereka bercakap dengan The Malaysian Insight, ketika pegawai Wisma Putra berkata tiada lagi rakyat Malaysia terkandas di India akibat koronavirus.

Jurutera, Firdaus Baharudin, 32, berkata beliau tiba di Kakinada, Andhra Pradesh atas urusan kerja pada 15 Februari dan sepatutnya pulang pada 31 Mac.

Namun, India memulakan pengurungan sepenuhnya pada 24 Mac dan Firdaus terkandas di sana sejak itu.

Beliau berkata sudah menghubungi Konsulat Malaysia di Chennai pada April, meminta untuk dimasukkan dalam penerbangan penyelamat tetapi diberitahu mereka memberi keutamaan kepada rakyat yang terkandas tanpa tempat tinggal dan makanan.

Ketika ditanya mengenai penerbangan penyelamat yang ditaja oleh MIC, beliau berkata penerbangan tersebut dihantar ke Chennai dan dengan sekatan pergerakan, beliau tidak dapat ke sana dari Andhra Pradesh.

“Bagi membolehkan saya sampai ke Chennai, saya perlu menaiki penerbangan domestik atau memandu (hampir 13 jam). Tetapi dengan sekatan perjalanan, saya tidak boleh pergi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Firdaus berkata beberapa hari yang lalu, beliau diberitahu mengenai penerbangan sewa persendirian dan diberitahu agar menghubungi individu bertanggungjawab. 

Beliau berkata selepas menghubungi individu berkenaan, beliau mendapati penerbangan itu sudah penuh.

Kekecewaannya semakin bertambah setiap hari kerana sangat merindui keluarga apatah lagi dengan Hari Raya yang menjelang tiba.

“Berapa lama saya perlu menunggu di sini? Saya mempunyai anak perempuan berusia setahun dan isteri di tanah air. Hari Raya semakin hampir tetapi saya masih terkandas di sini.

“Isteri saya juga bekerja dan menghadapi kesukaran mencari orang untuk menjaga anak perempuan kami.”

Firdaus memaklumkan turut mengetahui empat rakyat Malaysia lain, dari Sarawak, sama syarikat dengannya yang juga terkandas di Andhra Pradesh.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Alan Tee, ahli perniagaan dan guru yoga, turut terkandas di Rishikesh, negeri Uttarakhand, di bahagian utara India, ketika mengikuti kursus latihan yoga pada 8 Mac.

Tee masih belum mendapat jawapan yang konkrit berhubung gilirannya untuk pulang ke tanah air ketika menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

“Saya sudah menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini sejak 26 Mac dan jawapannya selalu ‘tunggu’.

“Saya berasa kecewa setiap kali menghubungi Suruhanjaya Tinggi. Jawapannya selalu sama,” kata Tee.

Sekolah yoga masih menyediakan tempat tinggal dan makanan, walaupun kursus tamat pada 28 Mac.

Katanya, rakan rakyat Malaysia lain yang terkandas di India berjaya mengumpulkan maklumat dan membuat kumpulan WhatsApp untuk memastikan semua orang sentiasa berhubung dan mendapat maklumat.

Sebilangan di dalam kumpulan itu berusaha menghubungi rakyat Malaysia untuk mendapatkan bantuan, termasuk ahli politik.

“Ramai rakyat Malaysia di sini masih belum balik. Oleh itu, mereka membentuk chat group untuk mencari jalan. Mereka menghubungi ahli politik, Wisma Putra dan yang lain melalui perkhimatan pesanan Facebook.”

Isteri Tee berada di Qatar dan mereka sepatutnya bertemu setiap bulan tetapi susulan Covid-19, mereka tidak dapat berbuat demikian.

Seorang pegawai Wisma Putra berkata tiada rakyat Malaysia terkandas di India kerana koronavirus, selain jemaah tabligh.

Mereka yang lain memutuskan untuk tidak menaiki penerbangan tajaan MIC dan penerbangan itu tidak penuh.

“Tiada lagi rakyat Malaysia terkandas di India kecuali jemaah tabligh.

“Yang lain bukan terkandas. Mereka enggan pulang ke Malaysia melalui penerbangan awal yang ditaja oleh MIC. Penerbangan agak kosong,” katanya, enggan disebut nama kerana tidak diizinkan untuk bercakap dengan media.

Pada Mac, parti komponen Barisan Nasional, MIC menyewa enam penerbangan AirAsia untuk membawa pulang kira-kira 1,116 rakyat Malaysia dari India. – 18 Mei, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen