50% hotel ditutup kerana Covid-19, kata kumpulan industri


Khoo Gek San

Sebahagian besar hotel akan ditutup buat sementara waktu sehingga tamat perintah kawalan pergerakan sementara yang lain ditutup sehingga Disember 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2020.

TINJAUAN terhadap 324 hotel di Malaysia mendapati kira-kira separuh daripadanya akan ditutup sama ada secara kekal atau sementara susulan wabak Covid-19, kata kumpulan pengusaha hotel negara.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata tinjauan yang dibuat pada April menunjukkan trend membimbangkan dengan hotel membuat keputusan menutup operasi berdasarkan unjuran kadar penghuni yang rendah akan terus merugikan mereka sepanjang tahun ini.

“Tinjauan yang dilakukan pada 16 April menunjukkan trend membimbangkan di mana 15% hotel berhasrat untuk terus menghentikan operasi sementara 35% lagi ditutup untuk sementara.

“Sebahagian besar akan ditutup buat sementara waktu sehingga tamat perintah kawalan pergerakan (PKP) sementara yang lain sehingga Disember 2020 atau sehingga vaksin ditemukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAH Yap Lip Seng.

Yap berkata tinjauan itu menunjukkan jumlah pelanggan yang diharapkan sepanjang tahun ini dianggarkan sekitar 10% hingga 30% untuk semua daerah.

Penurunan tertinggi dijangka berlaku di hotel sekitar Langkawi, Selangor, Johor, Pahang dan Sabah.

Yap berkata kelangsungan hidup hotel kini bergantung pada simpanan yang ada.

“Kami meramalkan pemilik dan jenama utama menggabungkan harta tanah mereka sementara jenama tempatan cenderung ditutup secara kekal,” katanya.

Yap berkata hotel juga akan meningkatkan faktor pembersihan berkala. 

“Di peringkat industri MAH merancang kempen ‘Bersih & Selamar Malaysia’ di mana hotel yang memenuhi syarat akan disahkan ‘Bersih & Selamat’ oleh pihak berwajib,” katanya.

Ini merupakan cara untuk menarik semula keyakinan pelancong kerana melancong tetap akan mendapat sambutan walaupun Covid-19 menjadi pandemik dan walaupun permintaan untuk bercuti tidak mencapai tahap sama seperti sebelum wabak menular.

“Kami melihat hotel sebagai pilihan terbaik bukan hanya untuk percutian tetapi juga pelancongan perniagaan bahkan selepas Covid-19.

“Jadi hotel (perlu) dilengkapi dengan SOP dan polisi untuk melindungi kedua-dua tetamu serta orang awam tanpa mengira Covid-19 atau penyakit lain atau masalah keselamatan,” katanya.

Beliau berkata langkah ini perlu dilakukan kerana pelancongan di Asia masih salah satu pasaran terbesar dan kebergantungan antara negara-negara Asen untuk pelancongan adalah tinggi. 

Industri hotel diramalkan untuk pulih dengan “munasabah” pada pertengahan 2021, kata Yap.

Paling baik kadar penghunian bagi Malaysia secara keseluruhan akan mencapai sekitar 32% pada Disember 2020.

Sektor hotel bajet juga terjejas teruk dengan hanya sekitar 30% daripada 2,300 pengendali memilih untuk terus meneruskan operasi, menurut presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussein.

“Hingga akhir April sektor hotel dianggarkan hilang pendapatan sekitar RM75 juta akibat pembatalan tempahan,” katanya.

Sektor hotel bajet akan pulih secara perlahan-lahan dan persatuan akan meminta kerajaan merangsang ekonomi, tambah Emmy.

“Pelancongan antara yang pertama yang terjejas dan yang terakhir akan pulih.

“Kami berharap akan ada sesuatu dalam rancangan pemulihan,” katanya merujuk pada rancangan pemulihan ekonomi yang akan akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada akhir Mei. – 18 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen