Dr Mahathir akan duduk bersama pembangkang di Parlimen


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad, 94, akan mencipta sejarah dengan menjadi perwakilan kerajaan tetapi duduk bersama kumpulan wakil pembangkang Pakatan Harapan dan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2020.

PENGERUSI Bersatu yang juga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan duduk bersama pembangkang pada sidang Parlimen sehari esok, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Pada usia 94 tahun, wakil rakyat tertua Malaysia dan dunia itu akan mencipta sejarah dengan menjadi perwakilan kerajaan tetapi duduk bersama kumpulan wakil pembangkang Pakatan Harapan dan Bersatu.

Ini adalah tindakan terbaru selepas beliau menolak kerajaan Perikatan Nasional yang menyingkirkan PH daripada kuasa persekutuan hujung Februari lalu.

Dr Mahathir bagaimanapun, masih lagi ahli Bersatu malah menjadi pengerusi parti, walaupun ura-ura kencang beliau akan dipecat daripada Bersatu kerana melawan Muhyiddin Yassin, yang merupakan presiden parti dan kini perdana menteri.

Menurut sumber arif dengan aturan kerusi sidang, Dr Mahathir akan duduk di barisan pertama Bahagian D yang terletak di hadapan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof.

Di sebelah Dr Mahathir ialah Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal (Semporna), kemudiannya diikuti wakil rakyat pembangkang di Bahagian E, F dan G.

Di Bahagian A yang terletak di sebelah kanan speaker, adalah wakil rakyat kerajaan diketuai Perdana Menteri Muhyiddin (Bersatu-Pagoh).

Di sebelah Muhyiddin ialah Mohamed Azmin Ali (Gombak) diikuti oleh menteri kanan lain iaitu Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), Fadillah Yusof (GPS-Petrajaya) dan Senator Dr Radzi Jidin (Bersatu).

Di sebelah Radzi ialah Menteri Luar Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) dan bekas timbalan speaker Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau).

Kedudukan 222 ahli Parlimen dijarakkan bagi mematuhi amalan penjarakan sosial bagi mencegah Covid-19.

Aturan kedudukan wakil rakyat akan melimpah ke bahagian yang selalunya menempatkan pegawai kementerian, pembantu menteri dan kakitangan Parlimen. – 17 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen