Rekonsialisasi nasional demi Malaysia


MELIHAT kepada beberapa perkembangan politik negara mutakhir ini, saya terpanggil untuk berkongsi pandangan dan pengamatan saya selaku seorang politisi muda yang menaruh harapan tinggi kepada cita-cita besar bangsa Malaysia yang tercinta.

Tahun 2020 ini pernah kita canangkan sebagai tahun bilamana wawasan kita bergelar negara maju telah tercapai.

Ternyata mimpi kita itu meleset malah kita ditemukan dengan tiga cabaran besar; politik, ekonomi dan pandemik Covid19 yang benar-benar menguji ketahanan dan kesepaduan kita sebagai bangsa Malaysia.

Dugaan yang kita hadapi bukan calang-calang. Kesan Pandemik Covid -19 bukan sahaja menyebabkan krisis kepada kesihatan awam, malah kepada ekonomi dan pasaran kerja keseluruhannya.

Orang muda berumur 15-29 tahun merangkumi hampir 40% daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia bersama dengan majoriti rakyat yang lain akan berdepan dengan kepayahan dan kesusahan yang membebankan.

Krisis pandemik Covid-19 yang sedang melanda kita pada hari ini memberi kesan secara langsung dengan meningkatnya kadar pengangguran; terjejasnya beberapa sektor ekonomi termasuk aktiviti ekonomi tidak formal; dan seterusnya menjurus kepada meningkatnya jurang pendapatan - yang kaya menjadi miskin, dan yang miskin menjadi papa kedana.

Dengan anggaran peningkatan kadar pengangguran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun ini kepada 4.0% berbanding 3.3% pada tahun 2019, golongan orang muda akan terus mendominasi jumlah penganggur.

Laporan Tinjauan Kesan Covid-19 kepada Ekonomi dan Individu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang melibatkan seramai 168,182 responden berumur 15 tahun ke atas daripada pelbagai sektor telah menunjukkan 46.6% responden bekerja sendiri (tanpa mengira umur) telah kehilangan pekerjaan sepanjang Covid- 19.

Berdasarkan dapatan tinjauan ini juga, jumlah kehilangan pekerjaan disebabkan krisis Covid-19 ini dijangka mencecah 2.1 juta orang.

Hakikatnya, rakyat akan sengsara. Baik peniaga, usahawan sehinggalah kepada golongan pekerja semuanya akan berdepan dengan situasi cukup sukar.

Kekhuatiran saya menjelang beberapa bulan yang akan mendatang adalah; akan ada rakyat yang terpaksa mengikat perut dan bahkan to provide food on the table daily would be a struggle!

Inilah realiti pahit yang kita semua perlu hadapi. Inilah hakikat yang saya harapkan majoriti ahli-ahli politik seperti saya, dapat menjadikan keutamaan untuk difikirkan bersama.

Negara menuntut halatuju kepimpinan daripada kita semua. Langkah Sheraton Kita (baca : politisi) pastinya boleh berbeda pendapat bahkan berdebat bertegang urat mempertahankan apa jua tindakan politik yang telah kita masing-masing pilih sepanjang beberapa minggu yang lalu semenjak Langkah Sheraton.

Namun akhirnya rakyat akan mula jemu mendengar labun kita yang tidak berkesudahan.

Tiba masa rakyat akan menuntut kita memberikan jawapan atau solusi kepada masalah pokok survival yang mereka perlu hadapi pada harihari mendatang.

Majoriti rakyat sudah tidak mahu dengar siapa “penyelamat” atau siapa “pengkhianat”.

Majoriti rakyat tidak mahu tahu siapa yang lebih layak jadi Perdana Menteri hari ini.

Majoriti rakyat tidak ambil pusing siapa dapat jawatan atau siapa hilang kedudukan.

Yang saya percaya rakyat mahu tahu hari ini adalah; apakah esok hari mereka masih lagi mempunyai sumber pendapatan untuk menyara hidup?

Adakah seorang peniaga dapat mengembalikan keuntungan beliau untuk mengatasi kerugian yang telah mereka alami?

Apakah setahun dari sekarang, wabak Covid-19 akan tamat dan negara bebas dari ancaman?

Saya yakin dan percaya inilah persoalan-persoalan lebih mendasar yang sedang bermain di benak pemikiran majoriti rakyat Malaysia hari ini.

Situasi krisis Covid-19 yang kita hadapi kini adalah satu pertarungan.

Sebagai sebuah negara kita berada di dalam peperangan melawan ‘musuh-musuh’ yang bukan hanya hadir sebagai ancaman wabak, tetapi bertimpa dengan kemelesetan ekonomi yang sangat melelahkan!

Pada tahun 1940 semasa Perang Dunia Kedua, Sir Winston Churchill telah dipilih menjadi Perdana Menteri dan mewarisi “war cabinet” yang telah dibentuk menggabungkan pimpinan politik daripada parti pemerintah dan pembangkang serta pimpinan ketenteraan bagi merangka strategi dan halatuju negara British mendepani ancaman Nazi ketika perang itu.

Kegiatan dan percaturan politik terus berjalan, tetapi kepentingan negara mengatasi segala bentuk pertimbangan pada ketika itu.

Matlamatnya satu iaitu negara British dan Tentera Bersekutu memenangi Perang Dunia Kedua.

Isnin ini buat julung kalinya, Parlimen akan bersidang dengan Perikatan Nasional berada di kedudukan kerajaan, manakala Pakatan Harapan kembali di kedudukan pembangkang.

Sepanjang tempoh menjelang kepada persidangan ini, pelbagai langkah dan percaturan politik berjalan dengan rancak demi memenuhi matlamat politik masing-masing.

Ada untuk mempertahan kuasa, ada juga untuk merebut kuasa. Semua ini berlaku di setiap peringkat.

Pengalaman cetek saya berada dalam arena politik negara semenjak lebih 12 tahun lalu bermula sebagai kader sebuah parti politik, saya sering dididik bahawa wadah politik harus menjadi medan untuk mengangkat ketamadunan bangsa dan memenuhi aspirasi membentuk sebuah masyarakat yang adil, bebas dan mandiri.

Sehingga saat ini, saya masih percaya dan berpegang teguh kepada prinsip itu.

Rekonsialisasi Nasional Atas kesedaran ini, saya mahu mengutarakan rekonsialisasi nasional atau pendamaian kebangsaan untuk dimulakan oleh semua politisi baik daripada Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan.

Ini adalah pilihan agung yang perlu kita semua (terutamanya politisi dari pemerintah mahupun pembangkang) fikirkan demi menjamin kelangsungan kita sebagai sebuah negara bangsa pasca pandemik Covid-19 ini.

Sebab itu saya menyeru kepada semua senior-senior saya dalam politik, termasuk yang seangkatan dengan saya, baik daripada Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan; kini adalah masa untuk rekonsialisasi nasional.

Pasca pandemik Covid-19 ini kita mengadaptasi norma baharu. Menyedari ancaman wabak yang masih belum selesai, rakyat dan negara perlu menyesuaikan diri dalam masa sama memulihkan dan membangunkan semula ekonomi negara.

Ini memerlukan koordinasi holistik dan pengenalan kebijakan-kebijakan baru yang peduli kepada rakyat.

Mandat rakyat kini bukan mengenai waima PH atau PN yang berkuasa.

Mandat rakyat hari ini adalah mereka mahu sebuah pemerintahan yang menawarkan halatuju kepimpinan untuk negara.

Rakyat mahu kestabilan. Rakyat mahu sistem penyampaian yang telus dan cekap. Rakyat mahu negara kembali pulih dan kita semua kembali kepada kedudukan yang selamat dan selesa.

Fikirkanlah teman-teman ahli politik sekalian. Terlalu lama pertarungan politik kita ini telah berlangsung.

Mungkin ada baiknya kita muhasabah seketika, dan kembali memikirkan apakah keutamaan kita sekarang.

Saya menyeru kepada semua, selami hati kita, padamkan seketika keegoan kita masing-masing, letak ketepi cita-cita peribadi kita, redakanlah pertelingkahan kita dan bersamalah kita utamakan kepentingan rakyat dan negara!

Berdamailah demi Malaysia! – 12 Mei, 2020.

* Dr Afif Bahardin, Adun Seberang Jaya dan pengasas pertubuhan bukan kerajaan PEMUDA NEGARA


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen