PAS mungkir janji kekalkan kerajaan sampai PRU15, kata Mukhriz


MUKHRIZ Mahathir mendakwa PAS mungkir janji untuk mengekalkan beliau sebagai menteri besar sehingga pilihan raya umum akan datang, apabila membentuk sebuah kerajaan baharu menggantikan kerajaan kerjasama politik antara Pakatan Harapan dan Bersatu.

Katanya, PAS membuat janji itu selepas pertukaran kerajaan di Putrajaya, yang turut memberi kesan kepada perubahan di beberapa negeri.

Tidak seperti di Johor ketika itu tumbang dan menteri besar Bersatu diganti oleh Umno, Mukhriz berkata beliau menjalin kerjasama dengan PH di Kedah walaupun Bersatu bukan lagi gabungan di peringkat nasional.

“Kepimpinan PAS Kedah telah memberi jaminan kepada saya bahawa mereka juga tidak akan mendesak Adun-Adun PH untuk melompat ke pihak mereka.

“(Mereka) juga bersetuju bahawa saya terus berkhidmat sebagai Menteri Besar hingga akhir penggal ke-14 ini,” katanya dalam sidang media mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai menteri besar.

Jelas Mukhriz, PAS bagaimanapun membuat permintaan agar pentadbirannya tidak mengabaikan mereka hanya kerana jadi pembangkang di Kedah.

Untuk itu katanya, kerajaan negeri memberikan peruntukan tambahan bagi pusat khidmat DUN yang wakil rakyatnya dari Umno dan PAS.

PAS bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional, yang dimeterai pada September 2019.

“Sifat timbang rasa kami untuk menunaikan permohonan PAS itu tidak langsung diambil kira apabila mereka terus melayan permohonan beberapa Adun kerajaan yang berhajat melompat ke pihak mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata pihaknya tidak akan mencabar peralihan kerajaan yang beliau sifatkan sebagai “pintu belakang atau ikut atap” di mahkamah.

Sejurus sidang media itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Ammar Shaikh Mahmood Naim mengumumkan Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor telah mendapat perkenan Sultan Kedah untuk dilantik sebagai menteri besar baharu.

Beliau akan mengangkat sumpah jawatan petang ini di Pejabat Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.

Pentadbiran Mukhriz tumbang selepas dua bekas Adun PKR – Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) – mengumumkan keluar PH selepas krisis dalaman PKR berhubung pertukaran kerajaan di Putrajaya pada Februari lalu.

Empat Adun Bersatu juga berpaling tadah terhadap Mukhriz, yang beliau dedahkan mengaku diarah berbuat demikian oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga perdana menteri, supaya menyokong Perikatan Nasional.

Empat Adun itu ialah Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah, Langkawi) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).

Gerakan enam Adun itu menjadikan PN mempunyai keseluruhan 23 kerusi daripada 36 kerusi di DUN Kedah, tambahan kepada 15 kerusi PAS dan 2 Umno.

PH kini tinggal 11 kerusi iaitu PKR 5, Amanah 4, dan DAP 2, sementara Bersatu juga ada 2 kerusi.

Seorang lagi Adun Bersatu yang kekal bersama Mukhriz ialah Amiruddin Hamzah (Anak Bukit). 

Beliau adalah juga Ahli Parlimen Kubang Pasu yang diketahui menyokong Dr Mahathir Mohamad ketika Bersatu terpecah dua susulan keputusan Muhyiddin membawa parti keluar dari PH.

Sejak PH jatuh di Putrajaya, tiga negeri juga beralih pentadbiran iaitu Johor, Melaka, dan Perak, yang mengikut jejak kerjasama politik di pusat. – 17 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen