BERJUTA rakyat Nepal turun mengundi dalam pilihan raya paling bersejarah, yang diharap dapat menamatkan ketidakstabilan negara itu sejak tamatnya perang saudara berdekad lalu.
Dua fasa pilihan raya untuk parlimen peringkat tempatan dan kebangsaan itu adalah yang pertama sejak perlembagaan pasca-peperangan diwujudkan selepas tamatnya pemberontakan Maois pada 2006 yang mengubah sistem beraja kepada sistem demokrasi.
Pusat pengundian di Chautara, timur Kathmandu masih sibuk dengan barisan panjang pengundi menunggu untuk mengundi.
“Susah untuk berubah, tapi saya tetap akan mengundi,” kata Keshab Nath Upadhayay, 78, sambil terbongkok berjalan dengan tongkat.
Tiga parti dominan
Perlembagaan baharu Nepal yang diluluskan pada 2015 mengubah secara keseluruhan sistem politik negara itu.
Perlembagaan itu bertujuan untuk menganjak kuasa kerajaan pusat kepada tujuh wilayah utama.
Nepal telah melalui 10 perubahan pemimpin sejak 11 tahun lalu, namun rasuah tetap masih rancak, sehingga mengganggu pertumbuhan ekonomi dan juga membantutkan pemulihan gempa bumi 2015 yang menjahanamkan berjuta-juta rumah.
“Kerajaan asyik bertukar setiap sembilan bulan. Tak sempat untuk buat apa-apa. Malah, mereka sibuk bergaduh untuk dapatkan kuasa. Kami harap semua ini akan berubah,” kata petani Gyan Bahadur Thapa sebaik mengundi.
Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran impak perubahan mungkin terhad, memandangkan tiga parti politik utama berusaha keras bergaduh untuk mendapatkan kerusi.
Parti Maois yang dipenuhi dengan pemberontak 2006 telah bergabung dengan parti CNP-UML komunis.
Sementara blok penguasa, Nepala Congress ligat bergabung dengan parti-parti kecil untuk mempertahankan kuasa.
Ramai penyokong Maois berkata pemberontakan Maois dan penarikan diri dari proses berdamai selepas 2006 itu bertujuan untuk mencipta lebih ruang untuk hak sama rata. Namun ketidakstabilan politik dan rasuah yang berleluasa menggagalkan usaha itu.
Di bawah perlembagaan baharu, sebahagian daripada kerusi majlis kerajaan pusat dan wilayah diperuntukkan kepada wanita, selain diberikan kepada masyarakat asal dan kaum kasta rendah Dalit.
Menjelang pilihan raya, sempadan Nepal dengan India dan China ditutup dan beribu anggota keselamatan ditempatkan di setiap pusat pengundian.
Keputusan pilihan raya itu dijangka keluar dalam beberapa hari selepas undian kedua yang akan berlangsung pada 7 Disember ini. – AFP, 26 November, 2017.
Komen