Mukhriz Mahathir bukan lagi menteri besar Kedah


Zaim Ibrahim

Mukhriz Mahathir (tengah) ketika bercakap pada sidang media di Alor Setar hari ini. Beliau melepaskan jawatan sebagai menteri besar Kedah berkuatkuasa serta merta.– 17 Mei, 2020.

MUKHRIZ Mahathir meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta merta selepas enam wakil rakyat yang menyokongnya berpaling tadah, menyebabkan beliau hilang majoriti sokongan di Dewan Undangan Negeri.

Enam wakil rakyat itu – dua dari bekas PKR dan empat dari Bersatu – menarik balik sokongan kepadanya “atas arahan orang atas”, katanya.

“Tidak timbul apa-apa masalah serius berkait dengan Kerajaan Negeri Kedah sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan.

“Tidak ada skandal melibatkan saya ataupun exco mahupun pegawai kerajaan sepanjang dua tahun ini.

“Tidak ada krisis yang mencetus huru hara di kalangan rakyat sehingga mengakibatkan menteri besar atau kerajaan perlu ditukar.

“Yang ada hanya kepentingan politik peribadi di luar Kedah yang menjadikan rakyat kita sebagai mangsa,” kata beliau dalam satu sidang media di Alor Setar.

Sejurus sidang media itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Ammar Shaikh Mahmood Naim mengumumkan Adun Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor telah mendapat perkenan Sultan Kedah untuk dilantik sebagai menteri besar baharu.

Majlis pelantikan akan diadakan petang ini (Ahad) di Pejabat Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.

Ini adalah kali kedua Mukhriz letak jawatan Menteri Besar Kedah di tengah jalan, selepas kali pertama pada 2016, apabila Adun BN diminta menarik balik sokongan kepadanya setelah beliau lantang mengkritik Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad.

Arahan presiden

Mukhriz mendedahkan empat Adun Bersatu yang berpaling tadah terhadapnya itu mengaku mereka diarahkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga perdana menteri, supaya menyokong Perikatan Nasional.

Empat Adun itu ialah Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah, Langkawi) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).

Mereka berpaling tadah selepas dua bekas Adun PKR – Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) – mengumumkan keluar PH selepas krisis dalaman PKR berhubung pertukaran kerajaan di Putrajaya pada Februari lalu.

Gerakan enam Adun itu menjadikan PN mempunyai keseluruhan 23 kerusi daripada 36 kerusi di DUN Kedah, tambahan kepada 15 kerusi PAS dan 2 Umno.

PH kini tinggal 11 kerusi iaitu PKR 5, Amanah 4, dan DAP 2, sementara Bersatu juga ada 2 kerusi.

Seorang lagi Adun Bersatu yang kekal bersama Mukhriz ialah Amiruddin Hamzah (Anak Bukit).

Beliau adalah juga Ahli Parlimen Kubang Pasu yang diketahui menyokong Dr Mahathir Mohamad ketika Bersatu terpecah dua susulan keputusan Muhyiddin membawa parti keluar dari PH.

Sejak PH jatuh di Putrajaya, tiga negeri juga beralih pentadbiran iaitu Johor, Melaka, dan Perak, yang mengikut jejak kerjasama politik di pusat. Kedah bagaimanapun kekal kerana PH membentuk kerajaan dengan Bersatu walaupun bukan gabungan lagi di peringkat persekutuan. – 17 Mei, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen