Nasib rakyat tanpa sidang Parlimen 


SEPERTI mana yang kita ketahui, sidang Parlimen pada kali ini hanya akan berlangsung selama setengah hari. Tidak perlu saya mengolah lebih lanjut kerana terdapat banyak artikel yang membincangkan isu ini. Namun, aspek yang lebih penting ialah tiada platform untuk membincangkan impak Covid-19 kepada rakyat. 

Sepatutnya isu-isu yang membebani rakyat ini dibahas untuk mendapatkan buah pandangan yang bernas untuk membantu rakyat. Ini merangkumi aspek-aspek seperti kesihatan, pendidikan, dan isu pengangguran. Banyak sekali masalah rakyat yang membebani Mak Cik Kiah, suaminya Pak Abu, dan anak-anak mereka Ali dan Aminah. 

Jika dibincangkan, mungkin kelangsungan rakyat dapat dibantu kerana kuasa Parlimen adalah amat besar seperti dapat membatalkan atau membentuk akta atau polisi baru mahupun memberi pengecualian kepada polisi yang telah sedia ada.

Perbincangan sepatutnya diadakan untuk membincangkan nasib Mak Cik Kiah. Jika Bantuan Prihatin Rakyat hanyalah bersifat sementara, apakah langkah kerajaan untuk membantu Mak Cik Kiah pada jangka masa panjang dan bagaimana untuk membantu perniagaan goreng pisangnya?

Bagaimanakah nasib Pak Abu jika beliau tidak layak memohon subsidi gaji kerana bekerja secara tidak formal atau tidak tetap? Bagaimana Pak Abu ingin menyara keluarga jika beliau diberhentikan?

Apakah pula nasib Ali dan Aminah dalam pembelajaran mereka. Bagaimana mereka ingin turut serta belajar secara online bersama rakan-rakan jika mereka tidak mempunyai komputer mahupun internet yang stabil di rumah?

Bagaimanakah masa depan mereka jika mereka memilih untuk berhenti belajar bagi membantu keluarga yang susah? Apakah masa depan anak-anak ini?

Bukankah ini soalan-soalan yang seharusnya dibahas dan dibincang oleh Dewan Dakyat untuk mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi membantu rakyat?

Banyak masalah-masalah yang boleh dibincang. Pertamanya, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di Malaysia pada tahun ini dijangka mencecah 5.5%. Ini jauh lebih tinggi dari statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu, sebanyak 4%.

Antara sektor yang terjejas dengan teruk ialah pelancongan dan kepenggunaan. Namun, apakah langkah yang akan diambil kerajaan bagi mengurangkan masalah pengangguran terutamanya bagi golongan B40 dan belia?

Keduanya, ramai yang kehilangan pekerjaan tidak akan mampu untuk membayar sewa rumah mereka. Adakah kerajaan akan mewujudkan punca kuasa seperti Akta Sewa Rumah Kediaman untuk mengawal selia penyewaan premis di Malaysia atau memberi memberikan subsidi bagi sewa rumah bagi pekerja yang telah kehilangan pekerjaan?

Ketiga, pada April sebuah kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati pekerjaan dalam sektor pertanian merekodkan kehilangan pekerjaan kedua tertinggi selepas perkhidmatan. Seramai 56% sektor pertanian berstatus tidak standard atau tidak mempunyai kontrak pekerjaan formal.

Ramai petani juga mengalami kesusahan kerana tidak mempunyai wang simpanan dan masih mempunyai masalah dalam penghantaran hasil di pasar borong akibat kekurangan pekerja asing.

Bagaimanakah kerajaan akan membantu golongan petani untuk memudahkan proses logistik dan bagaimanakah kerajaan dapat membantu golongan petani yang berstatus tidak formal?

Keempat, ramai pelajar yang mengalami kesusahan untuk belajar secara online terutamanya golongan B40. Mengikut kaji selidik dari Kementerian Pendidikan, 37% pelajar tidak mempunyai kelengkapan yang cukup untuk belajar secara online, dan hanya 6% ke 9% yang mempunyai komputer/tablet.

Bagaimana kerajaan ingin membantu pelajar-pelajar terutamanya dari golongan B40 supaya tidak ketinggalan dalam pembelajaran?

Kelima, kaji selidik yang dijalankan oleh organisasi penyelidikan, The Centre terhadap responden di Klang menunjukkan 39% hingga 54% responden mengakui mengalami gangguan emosi kesan daripada pengurangan gaji manakala golongan pelajar dan penganggur mengalami kesejahteraan mental negatif.

Apakah langkah-langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ini masalah mental terutamanya bagi mereka yang terkesan akibat Covid-19 ini?

Banyak lagi masalah rakyat yang harus diatasi, dan sidang Parlimen merupakan satu platform yang diwujudkan untuk membahaskan isu-isu ini. Kita memerlukan pelan dan strategi bagi mengharungi zaman pasca Covid.

Rakyat sudah penat dan muak dengan masalah politik yang hanya menguntungkan sesetengah pihak.

Jika tidak boleh bersidang secara normal, maka kerajaan haruslah mengambil inisiatif untuk bersidang secara online bagi membincangkan masalah-masalah ini dan mencari jalan penyelesaian. Terdapat banyak platform yang boleh digunakan.

Bantulah rakyat sebelum terlambat. Siapa lagi yang boleh membantu rakyat jika bukan ahli-ahli dewan rakyat yang terhormat? – 17 Mei, 2020.


* Sophie Shakur, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen