Tumpu pada peluang pekerjaan dan perniagaan baharu, saran pakar ekonomi


Bernard Saw

Banyak perniagaan masih ditutup ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2020.

PELUANG pekerjaan baharu dan suntikan modal untuk usaha baharu perlu menjadi keutamaan, bukannya menyelamatkan perniagaan yang hampir musnah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata pakar ekonomi.

Profestor bersekutu bidang ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman Wong Chin Yoong berkata kerajaan tidak boleh terus mencuba dan menyelamatkan semua industri menerusi pakej rangsangan ekonomi Prihatin.

“Industri yang sudah musnah tidak boleh perlu diselamatkan tetapi kerajaan boleh membantu mereka yang terlibat dalam industri tersebut dengan mencari kerja atau memberi suntikan modal bagi memulakan perniagaan baharu dalam bidang lain atau melatih semula mereka,” kata Wong.

Pakej rangsangan ekonomi yang disediakan setakat ini tidak melibatkan dana untuk memulakan perniagaan baharu dan perkara ini perlu dipertimbangkan Putrajaya, katanya.

Tambahnya, satu lagi langkah adalah membantu terus individu terlibat, khususnya mereka yang bekerja sendiri yang terjejas akibat PKP.

“Kerajaan boleh melonggarkan syarat untuk mendapat manfaat pengangguran.

“Ini boleh membantu mereka mencari kerja dan mendapat sumber baharu pendapatan.

“Saya tidak fikir pekerjaan atau syarikat perlu diselamatkan. Apabila industri atau perniagaan terjejas, satu perniagaan baharu akan muncul. Ini yang berlaku dalam pasaran.

Kerajaan perlu menumpukan perhatian membantu individu yang bekerja sendiri berbanding menyelamatkan perniagaan yang hampir musnah akibat Covid-19, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2020.

“Tidak kira sama ada ia terjejas akibat pandemik atau teknologi baharu, masalahnya adalah model perniagaan tidak mampu bertahan lagi.

“Saya fikir kerajaan perlu menumpukan usaha menyelamatkan ekonomi berbanding pekerjaan.

“Kalangan industri seperti perhotelan terjejas teruk. Saya tidak merasakan dana yang banyak boleh mengekalkan mereka,” katanya.

Wong berkata pelancongan mungkin tidak akan pulih dalam tempoh terdekat kerana tahap keyakinan pengguna masih rendah disebabkan kes Covid-19 yang berterusan walaupun catatan kes baharu rendah.

Katanya jika pelan pemulihan beberapa sektor memakan masa yang lama, tidak mustahil kerajaan perlu membelanjakan banyak dana untuk mereka bagi tempoh yang lama.

Dengan menumpukan perhatian terhadap ekonomi berbanding menyelamatkan perniagaan, mereka yang terjejas akibat Covid-19 mempunyai peluang untuk bangkit semula.

Pakar ekonomi Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (IDEAS) Muhammad Adli Amirullah juga bersetuju bahawa perniagaan yang tidak mempunyai pelan atau terpaksa ditutup kerana kurang dana, tidak wajar diselamatkan.

“Jika kerajaan masih mahu membantu, ia bertentangan dengan tujuan mewujudkan sesebuah perniagaan,” katanya.

Mana-mana bantuan kerajaan untuk perniagaan perlu menyediakan platform atau keadaan yang mampu mengembalikan keuntungan perniagaan jika mahu terus membantu perniagaan yang hampir jatuh.

Dengan menumpukan perhatian terhadap ekonomi berbanding menyelamatkan perniagaan, mereka yang terjejas akibat Covid-19 mempunyai peluang untuk bangkit semula, kata pakar ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2020.

Ini boleh dilakukan dengan menyediakan pinjaman berfaedah rendah dan insentif berbanding terus menyuntuk susbsidi dan wang.

“Walaupun kita mahu mengelakkan perniagaan ditutup dengan membantu mereka melunaskan hutang, ia tidak dapat bertahan lama.

“Menyuntik dana memang mudah, tetapi berapa banyak yang boleh diberikan? Jadi kerajaan perlu bekerjasama rapat dengan industri bagi mencari formula pelan jangka masa panjang bagi memulihkan semula sektor tertentu,” kata Adli.

Sebarang usaha membantu perniagaan perlu tertumpu kepada mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik dan individu yang bekerja sendiri yang terpaksa menutup kedai.

“Mereka ini perlu dianggap sebagai kumpulan paling lemah dan terjejas teruk dalam perniagaan,” katanya. – 17 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen