2020, tahun selamat tinggal industri akhbar


Zainal Rashid Ahmad

Akhbar konvensional dengan budaya "bertuankan" pemodal pro politik atau ahli perniagaan oportunis dilihat masih terperangkap dengan idea pemberitaan doktrin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2020.

SEJAK 2004, lebih 1,800 akhbar ditutup di seluruh dunia. Satu realiti industri berita cetak kini tidak lagi relevan. Akhbar dianggap tinggalan zaman Generasi boomers (kelahiran 1946-1964). Serta hanya mendapat sokongan sisa Generasi X (kelahiran 1965-1979) sebagai pembaca utama.

Relatifnya, pasaran akhbar sentiasa menyusut secara drastik tahun ke tahun. 

Lebih menyakitkan, Generasi Y (1981-1994) rabun akhbar. Manakala Generasi Z (1995-2010) buta akhbar.

Walaupun jualan akhbar jatuh merudum tahun ke tahun, pemilik bisnes masih percaya pada pesona Adex (perbelanjaan iklan daripada pengiklan). Adex mencipta mitos mengenai potensi industri akhbar untuk terus bertahan dan mampu meraih keuntungan.

Padahal, realiti sebenarnya – total kek pendapatan iklan dalam industri media cetak tidak lagi setimpal berbanding kos operasi yang tinggi.

Mitos jahatnya: kerana tamakkan kek Adex, operator akhbar sanggup menggadai integriti kualiti dengan merendahkan kos operasi. Pemilik hanya bernafsu untuk menyapu untung daripada iklan.

Sasaran utama mengurangkan kos tentunya sumber manusia. Apabila tenaga kepakaran dikurangkan (ditamatkan kerja kerana bergaji tinggi), urusan pengendalian operasi dikendalikan pekerja junior bergaji rendah.

Ini antara sebab kualiti dan intergriti akhbar mulai dicurigai. Stigma ini mempercepatkan lagi proses kemeruduman bisnes.

Kesan operasi bilik berita oleh tenaga kerja tidak berkualiti menjejaskan piawaian berita.

Akibatnya, pembaca terasa lebih cerdik daripada wartawan. Malah, pembaca kerap merasakan mereka lebih mengetahui isu secara mendalam berbanding wartawan yang menulisnya.

Selebihnya, kewartawanan cetak masih diterajui rejim ortodoks dan dinosaur yang percaya: akhbar ialah “tukang lapor.”

Senario ini diburukkan lagi dengan budaya pemberitaan cara lapuk yang hanya berasaskan: “where, when, what, who dan how”.

Akhbar sering “tertinggal bas”

Reputasi akhbar menjadi lebih tenat kerana sentiasa tertinggal antara 12 ke 24 jam di belakang perkembangan isu.

Media dalam talian yang bukan dikuasai syarikat induk media konvensional lebih terbuka. Editorialnya menawarkan persekitaran baharu berteraskan “kewartawan netizen”.

Portal berita kendalian generasi baharu lebih terbuka menerima akses keterlibatan pandangan dan suara awam.

Media dalam talian menyediakan prospek diskusi isu semasa yang sensitif secara lebih meluas.

Tindakan yang signifikan dengan trend pemikiran kritis masyarakat hari ini.

Kewartawanan netizen yang disediakan portal berita bebas nampak lebih dinamik.

Komunikasinya lebih berdaya diskusi dan neutral walaupun “memihak”.

Trend dinamik media digital menjadikan akhbar dilihat sebagai gergasi tua tinggalan era “dinosaur doktrinisasi”.

Akhbar konvensional dengan budaya “bertuankan” pemodal pro politik atau ahli perniagaan oportunis dilihat masih terperangkap dengan idea pemberitaan doktrin.

Lebih parah, akhbar hampir tidak memiliki pembaca muda. Strategi menyediakan sisipan segmen pendidikan tidak berdaya membina kelompok pembaca baharu.

Projek ini sebenarnya bersifat komersil bagi mendapatkan kontrak berbayar kerajaan dengan pengisian bahan pendidikan sekolah.

Paling sedih, akhbar sekadar meneruskan servis pada sisa-sisa pencinta berita yang masih mahu memegang kertas. Atau, generasi boomers dan X yang telah didoktrinkan sejak era lampau.

Secara jujur, inilah dilema utama yang menjadikan peranan dan bisnes akhbar dilihat sebagai “tiada masa depan”.

Akhbar berdepan “hidup mati”

Adex akhbar hanya tumbuh 2% setahun berbanding media digital yang mencatatkan peningkatan 16% setahun.

Pada 2019 Adex akhbar hanya 25%. Itu pun dimonopoli akhbar Cina dan Inggeris. Menurut laporan Nielsen, pada 2018, akhbar mengawal 38% Adex.

Namun, jumlah 38% Adex ini turut meliputi pencapaian iklan di platform akhbar dalam talian atau media sosial yang menjadi cabang bisnes digital media konvensional.

Sumber Grup M pula melaporkan, pada 2017, Adex akhbar mencapai 29% (RM1.58 bilion) daripada total RM4.59 billion Adex domestik.

Sebagai bandingan, Nielsen melaporkan, Adex akhbar menurun 4% daripada 29% pada 2018 ke 25% pada 2019.

Pada anggaran RM4.5 bilion total pasaran iklan, kejatuhan 4% bererti akhbar kehilangan RM180 juta pendapatan setahun.

Sekiranya Adex pengiklanan 2020 jatuh menjunam melebihi 50% kerana krisis kemelesetan ekonomi akibat Covid-19, akhbar bakal kehilangan sekitar RM800 juta pendapatan iklan.

Tahun 2020 memberi isyarat jelas, banyak syarikat akhbar akan berdepan krisis aliran tunai yang teruk. Tidak mustahil pada tahun ini, terdapat syarikat akhbar bakal “gulung tikar”.

Selain secara ekstrem akan melaksanakan pembuangan pekerja melalui skim pampasan minimum VSS atau MSS.

Pada masa yang sama, akhbar perlu menerima hakikat sukar mendapat pelaburan tunai baharu.

Akhbar pada masa ini ialah bisnes yang tidak memiliki prospeks masa depan. Kebergantungan pada sisa pembaca Generasi boomers dan Generasi X satu kelemahan ketara.

Pelabur yang bijak pasti melihat potensi masa depan dalam setiap pelaburan. Sekaligus, mudah menjangkakan akhbar tiada kontak dengan Generasi Y (kelahiran 1981-1994). Malah, hampir sifar pengaruh bagi Generasi Z (1995-2010).

Adex akhbar kekal tenat

Pada 2019, pertama kali iklan digital memintas semua pencapaian media konvensional dengan menguasai 30% kawalan iklan.

Akhbar dan TV pada tahun lalu melalui detik sukar apabila masing-masing hanya menguasai 25% pendapatan iklan.

Menurut laporan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, prestasi TV siaran percuma mula menampakkan tanda-tanda “dikalahkan” kepantasan media digital.

Pada 2011, media digital hanya menguasai 9% perbelanjaan iklan. Hanya dalam tempoh lapan tahun, ia meningkat kepada 30%.

Berita buruk 2020 tetap lebih menghantui industri akhbar. Kehilangan 4% Adex setahun sejajar dengan kejatuhan 10% edaran harian dari tahun ke tahun satu indikasi ia akan dijauhi pelabur.

Penyusutan pembaca 10% setahun bermula sejak 2013. Kini hanya dua juta akhbar berbayar (seluruh akhbar di negara ini) diedarkan setiap hari. Ertinya, kurang 10% rakyat Malaysia membaca akhbar.

Biro Audit Pengedaran (ABC) turut melaporkan kejatuhan hampir seragam bagi akhbar berbahasa Melayu, Cina dan Inggeris di negara ini.

Terdapat laporan menyebut, 12.5% rakyat Malaysia membaca akhbar. Namun, dengan nota: senaskhah akhbar dikongsi seisi rumah.

Akhbar edaran Sin Chew mencapai edaran tertinggi harian dengan 288 ribu naskhah. Ini data Januari hingga Jun 2018.

Namun, relatifnya - kos iklan menunjukkan betapa tidak relevannya akhbar.

Persoalannya, berapa harga yang perlu dibayar bagi iklan muka penuh akhbar dengan edaran 288 ribu?

Harga iklan yang sama sekiranya dibelanjakan di platform seperti YouTube akan memberikan pulangan akses 6 juta hingga 7 juta penonton.

Ini juga krisis utama media konvensional termasuk radio dan TV.

Harga iklan masih berskala puluhan dan ratusan ribu ringgit. Sedangkan angka edaran atau capaian yang dimiliki jauh lebih rendah berbanding media digital.

YouTube menawarkan kos tiga hingga empat kali ganda lebih rendah dengan impak capaian 20 hingga 30 kali ganda lebih tinggi.

Arus peralihan iklan akan berubah secara drastik tahun ini. Kemelesetan ekonomi akan menyebabkan agensi dan pemilik jenama tidak akan berbelanja besar.

Peralihan di platform digital yang selama ini berlaku secara evolusi bermula 2011, akan mencipta revolusi. Tahun 2020 adalah tahun “penyembelihan” media konvensional.

Proses pembuangan pekerja akan berlaku secara besar-besaran seawal Jun nanti. Syarikat akhbar akan bertindak lebih ekstrem melalui kawalan kos. Dijangkakan industri media konvensional akan menawarkan pengurangan pekerja mencapai 50%.

Manakala TV akan mengecilkan kos operasi pembelian kandungan sekitar 50%. Seterusnya mengecilkan kos pekerja minimum 30%.

2020 akan menjadi tahun di mana satu lagi pusingan dengan ribuan pekerja industri media ditamatkan kerja. Tragedi yang berterusan sejak 2015 hingga tahun lalu.

Terdapat empat faktor pendorong yang mempercepatkan kematian akhbar dan TV.

Pertama, pendapatan menjunam dan kos operasi kekal tinggi. Kedua, hilangnya keyakinan pengiklan terhadap impak akhbar dan TV sebagai media yang relevan ketika langkah penjimatan pengiklanan yang ekstrem.

Ketiga, stigma ketakutan pengiklan terhadap kualiti operasi media konvensional berikutan pembuangan pekerja dan kesan terhadap kualiti produk pemberitaan dan kandungan penyiaran.

Manakala, TV pula akan dihindari apabila tarikan kandungan program berkos tinggi akan berkurangan secara mendadak. Ini langkah logik bagi TV dalam mengimbangi menjunamnya pendapatan iklan.

Keempat, apabila akhbar dan TV kehilangan digniti dan populariti, revolusi digital akan berlaku dengan lebih pantas.

Pengiklan secara drastik akan beralih ke media digital. Asasnya mudah kerana kosnya murah.

Capaian tontonan dan jangkauan media digital juga jauh lebih baik.

Pengiklan akan menjauhi media konvensional: “Separuh kos iklan ialah pembaziran apabila YouTube, Google dan Facebook menawarkan akses
capaian yang berkali ganda lebih tinggi dengan kos berkali ganda lebih murah!”

Sumber sokongan kerajaan

Industri akhbar kini kembali bergantung pada sokongan iklan, dasar dan pembelaan kerajaan.

Pertama, mengharapkan ketika pengiklan komersil menjauhkan diri akibat kemelesetan ekonomi, kerajaan akan menggunakan akhbar sebagai alat menyebarkan dasar dan komunikasi awam.

Alasannya, akhbar masih relevan sebagai suara penyebar dasar kerajaan. 

Sedangkan realitinya, akhbar sudah tidak relevan.

Ketika penurunan edaran akhbar konsisten jatuh 10% setahun dan hanya 10% rakyat Malaysia membaca akhbar, kenyataan mengenai pengaruh akhbar sebagai pemangkin dasar kerajaan sangat tidak berasas.

Terdapat 28 juta akaun Facebook di negara ini serta kadar penggunaan mencapai 4 jam sehari. 

Ini membuktikan arus digitalisasi sangat prominan dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

Kedua, operator media konvensional mendesak kerajaan menggubal akta berkongsi hasil pengiklanan dengan Facebook dan Google.

Usaha ini memakan waktu. Manakala, pendirian Google dan Facebook boleh dijangka. Secara preseden, kedua-dua gergasi digital itu akan bertindak dengan langkah yang sama ketika berdepan tekanan kerajaan Perancis dan Sepanyol.

Apabila kerajaan eropah menggubal undang-undang perkongsian pengiklanan berita, Facebook dan Google mengambil langkah tidak lagi melaporkan berita mengenai Perancis dan Sepanyol.

Walaupun masih berunding di Australia, Google dan Facebook dijangka meneruskan dasar “tidak mengalah” dan akan menarik diri.

Google dan Facebook sebagai peneraju utama media digital tidak akan tunduk pada rundingan yang memberikan hayat pada media konvensional.

Ketua Perbendaharaan Australia, Josh Frydenberg berkata, tindakan mandatori itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada Julai ini.

Tanpa sebarang persetujuan daripada Google dan Facebook, kita akan melihat pada 1 Julai nanti, tiada lagi berita negara kanggaru itu di platform tersebut.

Rejim digital memang berniat membunuh media konvensional bagi menguasai keseluruhan pasaran Adex. Kerajaan boleh bertindak menekan atau mendesak, tetapi “pemangsa tidak akan mengubah cara hidupnya.”

Di Australia, akhbar juga melalui krisis penghujung hayat. Dalam tempoh enam tahun, firma berita di negara itu menamatkan 20% pekerjaan.

Berdasar senario kemelesetan ekonomi dunia secara global selepas ini, Google dan Facebook akan menggunakan peluang ini sebagai “titik pembunuhan” menghapuskan pesaingnya.

Di Perancis, negara pertama yang melaksanakan arahan perkongsian iklan, Google menunjukkan taringnya.

Google bukan setakat menolak untuk membayar, malah melenyapkan laporan berita mengenai negara itu.

Akhirnya, kerajaan terkedu. Hilangnya berita mengenai negara itu di platform Google, sebenarnya merugikan Perancis.

Terpukul dengan tindakan nekad Google, Perancis berlembut dengan meminta rundingan semula antara Google dan operator media konvensional.

Pastinya, Google tidak akan mengalah. Ini urusan bisnes. Matlamat gergasi seperti Google dan Facebook ialah memusnahkan media konvensional bagi memonopoli hasil iklan.

Itu realiti dan ia mesti difahami.

Google berdalih dengan mitos mengenai sumbangan pelaburan melalui geran dalam memajukan kandungan media dalam talian.

“Kami percaya inovasi yang kukuh dan lebih telus di seluruh rantaian kandungan berita adalah kritikal untuk membina ekosistem berita yang mampan,” kata Google.

Namun, hakikatnya geran pembangunan itu digunakan bagi pelaburan portal berkos rendah dan bukan miliki media konvensional.

Google membina rantaian kerja dengan portal moden sebagai pembekal berita di setiap negara tanpa tekanan perkongsian iklan.

Ertinya, Google dan Facebook tidak akan membuang masa berunding untuk berkongsi iklan dengan media konvensional.

Secara strategik, mereka sudah memiliki rangkaian sumber berita sendiri dengan model perniagaan “tidak berkongsi hasil iklan!”

Kepada akhbar yang bakal berjuang – kematian lebih hampir kalau mengikut logik perniagaan. – 17 Mei, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen