Kurang 5% kes Covid-19 libat kanak-kanak di Malaysia


Alfian Z.M. Tahir

Seorang kanak-kanak dibantu petugas kesihatan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di kawasan PKPD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2020.

SEBANYAK 317 kes Covid-19 melibatkan kanak-kanak atau kurang 5% daripada keseluruhan 6,872 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya 112 kes membabitkan kanak-kanak berusia bawah 4 tahun manakala 22 lagi melibatkan bayi berusia bawah setahun.

Sebanyak 77 kes melibatkan kanak-kanak berusia antara 5 dan 8 tahun, dan 127 kes lagi membabitkan kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.

Bagaimanapun tiada kematian Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak direkodkan.

“Kanak-kanak merupakan kumpulan kedua paling terdedah selepas golongan warga emas,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

“Kanak-kanak ini berjangkit daripada ibu bapa mereka dan sebab itu kita menggesa ibu bapa untuk membersihkan diri apabila pulang ke rumah.

“Jangan sentuh anak anda melainkan selepas membersihkan diri sendiri.”

Selangor mencatatkan kes paling tinggi kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dengan 77 kes, disusuli Negeri Sembilan 48 kes, Johor (46), Kuala Lumpur (28) dan Sabah (26).

“Saya berharap ibu bapa akan mengutamakan keselamatan anak mereka. Selalu bersihkan tangan dan memakai topeng muka setiap masa.”

Dengan sambutan Hari Raya dalam tempoh seminggu lagi, Dr Noor Hisham berkata orang ramai perlu mengehadkan kontak fizikal dengan kanak-kanak.

“Mereka mudah dijangkiti. Jangan sentuh muka mereka, amalkan penjarakan sosial dan elak kawasan yang ramai.” – 10 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen