Semua ahli Parlimen yang diuji setakat ini bebas Covid-19, kata KP Kesihatan


Alfian Z.M. Tahir

Sejumlah 750 orang termasuk ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen disaring dan setakat ini tiada yang positif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2020.

SETAKAT ini tiada wakil rakyat atau kakitangan bangunan Parlimen yang dijangkiti Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu bagaimanapun berkata keputusan penuh ujian akan diketahui beberapa hari lagi.

“Sejumlah 750 orang termasuk ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen disaring dan setakat ini tiada yang positif.

“Kita akan buat ujian untuk dua hari lagi dan keputusan akan diketahui selepas itu,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menjelang Titah Diraja pada Isnin ini, semua wakil rakyat menjalani ujian Covid-19 sejak Khamis lepas.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata wakil rakyat diberitahu mereka boleh menjalani ujian menerusi kaedah pandu lalu bermula jam 9 pagi sehingga 3 petang selama dua hari.

“Kerana ia pandu lalu, tidak perlu tunggu lama. Saya sampai jam 9 pagi dan ada empat kereta lagi di depan saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kementerian Kesihatan menyediakan lima stesen ujian bagi mengelak masa menunggu terlalu lama untuk wakil rakyat menjalani ujian.

Pada 28 April lalu, Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat dalam surat dikirim kepada semua ahli Parlimen menyatakan mereka semua dihendaki menjalani ujian Covid-19 sebelum dibenarkan hadir sidang Parlimen 18 Mei ini.

Parlimen sepatutnya bersidang pada 9 Mac tetapi ditangguh kepada 18 Mei selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari.

Yang diPertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin akan menyampaikan Titah Diraja pada 18 Mei dan tiada perbahasan atau pembentangan usul dibenarkan berlaku hari itu. – 16 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen