SEBELUM umurnya 15 tahun, Endang Hyder dua kali jatuh cinta kepada muzik dan sejak itu, cintanya itu tidak pernah padam malah sehingga sekarang tetap menyala.
Cinta pertamanya kepada violin. Dia menonton filem Anakku Sazali dan tertawan mendengar P Ramlee menggesek violin. Umurnya ketika itu 10 tahun.
“Ayah kemudian hantar Endang belajar muzik di Ipoh kerana di Kampar tiada,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Selepas empat tahun belajar main violin, Endang jatuh cinta sekali lagi kepada sebuah lagi alat muzik yang hampir sama dengan violin iaitu erhu.
“Sewaktu Endang ada kelas violin di Ipoh, kita ada jalan-jalan di pasar raya Super Kinta. Masa itu ada seorang pakcik tua bangsa Cina main lagu klasik.
“Saat itu memang Endang terpukau, nak sangat belajar erhu,” katanya.
Kelunakan melodi yang merdu dari Erhu, alat muzik tradisional Cina itu membuatkan wanita Melayu ini jatuh cinta dan ingin mempelajarinya pada usia 14 tahun.
Erhu, yang juga digelar biola Cina, ialah sejenis alat muzik dua tali yang dimainkan dengan menggeseknya di riba. Ia sering dimainkan mengiringi persembahan opera Cina.
Badan alat muzik solo ini pada bahagian hujungnya berbentuk naga sementara pada bahagian bawahnya ialah kotak bunyi yang dibalut dengan kulit ular.
“Erhu ini, Endang jatuh cinta dengan bunyinya. Ia sangat mendayu. Ia unik. Muziknya menggamit jiwa, berbeza dengan muzik lain.
Endang Hyder, 31, kini dilihat ikon wanita Melayu yang unik kerana gesekan erhu yang boleh menghiburkan jiwa pendengar.
Endang atau nama sebenar Ell Zain Hyder Zainuddin membesar di Kampar, Perak yang di tengah-tengah masyarakat Cina. Minatnya terhadap muzik sentiasa mendapat dorongan keluarga.
“Endang juga akui sejak kecil dididik dan biasa dengan pelbagai kaum. Kawasan rumah di Kampar juga ramai Cina,” kata pemegang Diploma of Licentiate (LLCM) dari Kolej Muzik London ini.
Beliau sering mendapat jemputan persembahan untuk malam korporat, mengiringi artis mahupun majlis-majlis kerabat diraja. Pada 2010, Endang mula dikenali dengan lebih luas apabila muncul dalam Anugerah Juara Lagu, mengiringi Aizat Amdan yang mempersembahkan lagu Pergi.
Cabaran belajar erhu
Menurut Endang, antara cabaran terbesar mempelajari alat muzik ini ialah masalah bahasa kerana kebanyakan gurunya tidak fasih berbahasa Melayu dan dia pula tidak boleh berbahasa sebarang dialek Cina.
“Guru yang mengajar Erhu ini kebiasaannya kurang fasih Melayu dan Inggeris, jadi itu antara kesukaran Endang.
“Dan untuk tingkatkan tahap kita kena ambil ujian, tapi syaratnya kena ambil bahasa Kantonis. Jadi, usaha Endang terbantut di situ,” katanya.
Dalam pada itu, wanita bertubuh kecil ini sentiasa mencabar dirinya mencuba lagu baru dan tidak mahu tersekat dengan lagu-lagu tradisional Cina.
“Kita boleh pelbagaikan dengan lagu tradisional Melayu mahupun lagu Inggeris,” katanya yang turut memainkan lagu Joget Pahang dan Cindai menggunakan erhu.
Selain erhu, Endang juga boleh bermain piano dan violin. Antara lagu popular yang menjadi pilihannya ialah Despacito nyanyian Luis Fonsi dan Dirgahayu nyanyian Faizal Tahir.

Guru muzik sepenuh masa
Meskipun sudah berkeluarga, namun ia tidak menghalang Endang untuk menurunkan bakatnya dengan menjadi guru muzik.
Endang juga guru muzik di sebuah sekolah swasta selain mengajar pelajar secara persendirian.
“Ini semua sebab minat. Endang panjangkan ilmu yang ada. Permintaan untuk mengajar violin juga ada,” katanya yang mempunyai lebih dari 30 pelajar.
Selain itu, Endang juga dalam usaha menggubah lagunya sendiri untuk dihadiahkan buat pendengar setia.
Beliau mempunyai 19,000 pengikut di Youtube selain videonya yang rata-rata mendapat ratusan ribu tontonan.
“Sekarang ini, sedang buat lagu sendiri. Mungkin ambil masa sebab kita kena berikan terbaik. Yang penting adalah kualiti lagu itu. Bukan mudah sebenarnya buat lagu,” katanya. – 26 November, 2017.
Komen