Pelajar duduki peperiksaan kumpulan pertama kembali ke sekolah, kata PM


Chan Kok Leong

PELAJAR yang bakal menduduki peperiksaan awam akan menjadi kumpulan pertama kembali ke sekolah, kata Muhyiddin Yassin.

“Kita berikan keutamaan kepada murid yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM untuk ke sekolah dahulu.

“Ini untuk memastikan SOP mengenai penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dapat dipatuhi,” kata perdana menteri dalam perutusan khas sempena Hari Guru hari ini.

Beliau berkata SOP ini meliputi prosedur ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, sususan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain.

Bagaimanapun beliau tidak menetapkan tarikh bila ia akan dilaksanakan. 

Sekolah di Malaysia ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac untuk membendung wabak Covid-19.

Kerajaan berkata mereka akan memberi notis dua minggu sebelum membuka semula sekolah.

Susulan Covid-19 Muhyiddin berkata proses pendigitalan dengan menggunakan platform dalam talian atau pembelajaran maya akan terus diperkasa.

“Saya percaya pembelajaran maya adalah masa depan dalam pendidikan.

“Jadi, saya menyeru kepada guru-guru supaya mendalami kemahiran pengajaran secara atas talian dan home-based learning yang merupakan kebiasaan baharu dalam bidang perguruan,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau gembira kerana Malaysia berjaya melangkah keluar daripada kelompok satu pertiga terbawah dalam peringkat antarabangsa mengenai kualiti pendidikan.

“Ketika pertama kali mengembangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Malaysia berada di tangga ketiga terbawah dalam kedudukan antarabangsa.

“Hari ini saya berasa agak lega dan gembira kerana kita berjaya melangkah keluar dari kelompok berkenaan,” katanya.

Beliau berkata ini dapat dilihat menerusi pencapaian murid dalam ujian PISA.

“Bagi mata pelajaran Matematik pencapaian murid meningkat daripada 421 mata pada 2012 kepada 440 mata pada 2019.

“Pencapaian murid kita dalam mata pelajaran Sains juga meningkat daripada 420 mata pada tahun 2012 kepada 438 mata pada tahun 2019,” katanya.

Beliau berharap Malaysia akan berada dalam kedudukan ketiga terbaik dalam kualiti pendidikan menjelang 2025.– 16 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen